Fattah Boleh Nyanyi, Suaranya Unik

KUALA LUMPUR: Ketika ada pihak masih mempertikaikan keupayaan nyanyian, Fattah Amin, penyanyi dan komposer, Aizat Amdan, pula menganggap aktor itu memiliki suara yang unik.

Aizat berkata, walaupun ada beberapa masalah dari segi vokal, kesungguhan Fattah membuatkan mana-mana penggiat muzik pasti suka bekerjasama dengannya.

“Dia boleh menyanyi dan suaranya pun unik. Cuma ada sedikit masalah vokal saja.

“Saya suka melihat Fattah memiliki kesungguhan dan minat yang mendalam terhadap karier nyanyiannya.

“Bagi saya, dia sanggup berdepan dengan cabaran, lebih-lebih lagi kutukan orang. Sampaikan saya berkata padanya, ‘kau asyik kena kutuk, tetapi tenang saja’,” katanya kepada BH Online.

Sehingga kini, Aizat menjalinkan kerjasama menghasilkan lagu Wanita Terakhir, Cinderella dan 1234U untuk Fattah. Bagi lagu Cinderella, Fattah menyanyikannya dengan Nur Fazura.

Tambah Aizat, walaupun Fattah ialah artis yang mempunyai nama dan pengaruh besar, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH 3.0 itu tidak pernah bersikap sombong, malah sering menunjukkan keinginan untuk belajar.

“Dia tak pernah berasakan dirinya hebat. Apa yang kami (bersama Anas Amdan) minta, dia akan ikut. Yang penting, dia nak belajar.

“Ada seorang rakan muzik saya menyifatkan, tidak semua mampu menyanyikan lagu yang Fattah bawakan, hanya dia seorang boleh berbuat demikian,” tuturnya.-BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.