Sukan Perlu RM500j

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berharap permintaan untuk mendapatkan peruntukan RM500 juta bagi menganjurkan Sukan SEA, Para ASEAN dan persediaan atlet diluluskan kerajaan dalam Bajet 2017 yang akan dibentang Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Oktober ini.

Beliau bagaimanapun berkata, permohonan peruntukan tersebut tidak termasuk untuk Program Podium dan beberapa beberapa program sukan lain yang akan tetap diteruskan walaupun dalam keadaan KBS memerlukan perbelanjaan yang lebih besar tahun depan.

 

“Saya telah pun berjumpa dengan Yang Amat Berhomat Perdana Menteri selaku menteri kewangan minggu lepas dan telah bentangkan keperluan KBS khusus dalam konteks sukan. Saya telah minta peruntukan yang cukup untuk menampung kos penganjuran Sukan SEA, Sukan Para ASEAN tahun depan dan persiapan fasa ketiga atlet di bawah program Kita Juara.

 

“Nampak gaya YAB positif dan dalam ucapannya pada majlis penyampaian Skim Hadiah Kemenangan (SHAKAM) atlet Olimpik dan Paralimpik baru-baru ini, beliau juga telah sebut bahawa peruntukan akan ditambah berdasarkan prestasi atlet kita.

 

“Jadi besar harapan warga sukan agar pada pembentangan bajet Jumaat ini segala permintaan kami dapat direalisasikan,” katanya lapor Utusan.

 

Menurutnya lagi bagi Program Podium pula, KBS memerlukan peruntukan berasingan sebanyak RM70 juta untuk meneruskannya memandangkan ia menunjukkan kejayaan yang memberansangkan dalam meningkatkan prestasi atlet negara ketika ini.

 

“Macam Program Podium, ia tidak boleh dihentikan tahun depan walaupun ada Sukan SEA.

 

“Begitu juga program pembangunan lain seperti Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN), Hari Sukan Negara misalnya perlu diteruskan.

 

“Mungkin akan ada (program) yang terpaksa kita tangguhkan kerana bukan semua permintaan kita akan dapat dipenuhi kerajaan memandangkan perbelanjaan yang diperlukan untuk menganjurkan Sukan SEA cukup besar.

 

“Saya akan duduk berbincang dengan pegawai KBS untuk menyusun semula keutamaan program,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.