Mohamad Ezam ‘Jilat Ludah Sendiri’ Apabila Sertai Parti Mahathir

ALOR SETAR: Bekas Senator Dewan Negara, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor, disifatkan seolah-olah ‘menjilat ludah sendiri’ apabila menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang dinaungi Tun Dr Mahathir Mohamed, kerana pernah mendakwa bekas Perdana Menteri itu terbabit rasuah.

 

Perkara itu dimaklumkan bekas EXCO Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zamil Ibrahim, yang percaya tindakan MohamadEzam menyertai PPBM itu mempunyai agenda tertentu yang semestinya bermotifkan kepentingan peribadi.

 

“Ketika menjadi Ketua Pemuda Keadilan, beliau (Mohamad Ezam) menyerang Mahathir atas isu Konsortium Perkapalan Berhad, selain mendedahkan skandal Perwaja Steel Sdn Bhd, yang didakwa membabitkan salah guna dana awam bernilai berbillion ringgit.

 

“Beliau (Mohamad Ezam) mengajak rakyat khasnya anak muda untuk bangkit melawan rasuah yang didakwa dilakukan Mahathir, yang disifatkannya sebagai perosak dan pengkhianat bangsa Malaysia.

 

“Beliau juga menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini mahu menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula.

 

Semua ini serangan dirancang dan seolah-olah beliau menjadi tali barut pihak asing kepada negara ini,

 

” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. Mohamad Ezam mengumumkan keluar daripada UMNO atas alasan mahu mempertahankan prinsipnya selepas mendakwa UMNO dilihat tidak serius dalam perjuangan menentang rasuah apabila Akta Rahsia Rasmi (OSA), yang diperjuangkannya tidak dimansuhkan, sebelum mengumumkan menyertai PPBM.

 

Dalam masa sama, Zamil yang juga bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), turut mempersoalkan perjuangan Mohamad Ezam dalam menentang rasuah terutama melalui Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK) yang diwujudkannya sebelum ini, selain ‘Hisbah Centre for Reform’ yang didakwanya untuk tujuan sama.

 

“Rakyat kini tertanya-tanya ke mana pergi enam kotak yang pernah dikatakan beliau (Mohamad Ezam) mengandungi bukti rasuah Mahathir…adakah ia diserahkan kembali kepada bekas Perdana Menteri itu atau sudah hilang.

 

“Ezam (Mohamad Ezam) menjilat ludahnya sendiri dalam perkara rasuah, jadi saya menyeru rakyat supaya tidak terikut-ikut rentak beliau untuk menyerang pemimpin Melayu Islam di negara ini.

 

“Jika Ezam (Mohamad Ezam) ingin menjadi hero dalam isu rasuah, inilah peluang terbaik beliau bersemuka dan bertanyakan kepada Mahathir tentang semua isu rasuah yang disuarakan beliau dan bagaimana anak Mahathir boleh menjadi kaya-raya dalam masa yang amat singkat,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.