MB Nafi 25 Peratus Rakyat Terengganu Sakit Mental

KUALA TERENGGANU – Laporan 4 empat rakyat Terengganu mengalami sakit mental adalah tidak benar, kata Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman.

 

Beliau berkata jumlah tersebut sebenarnya merujuk kepada masalah kesihatan mental seperti kerunsingan dan tekanan.

 

“Ini adalah 2 perkara yang berbeza di mana sakit mental ialah gila dan mereka yang menghidapinya perlu mengambil ubat manakala masalah kesihatan mental pula biasa dihadapi ramai orang.

 

“Jadi, bukanlah bermaksud setiap 4 daripada rakyat, seorang tu kena ambil ubat sebab sakit mental (gila) bukan macam tu, ini tidak logik… sebab ini bidang saya, bidang psikologi, saya terkejut dengar.

 

“Kalau betul macam ni untunglah, saya boleh buka klinik sebab saya ada lesen,” katanya sambil berseloroh.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai salah faham terhadap laporan akhbar yang dipetik menerusi kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud dalam satu majlis baru-baru ini.

 

Mengulas lanjut, Razif yang juga pemegang Ijazah Sarjana Sains (Kaunseling) dari Universiti Putra Malaysia berkata masalah kesihatan mental seperti kerunsingan dan stres juga berpunca daripada tekanan hidup ketika ini seperti kos sara hidup dan kenaikan harga barangan.

 

“Memang ada kalanya, seseorang itu akan menghadapi ‘ketidakwarasan dalam seketika’ disebabkan tekanan yang terlalu tinggi, seperti yang berlaku baru-baru ini (kes tikam bakal abang ipar), begitu juga dalam perceraian… ketika tak sedar lafaz cerai dan bila sedar, baru rasa menyesal.

 

“Inilah yang sedang kita laksanakan di mana Terengganu menetapkan hala tuju transformasi ekonomi dengan jelas untuk dinikmati setiap rakyat menjelang tahun 2020 nanti” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.