Kerajaan Tidak Menganaktirikan Pemandu Teksi

KOTA BHARU – Persatuan Pengguna Islam (PPIM) Kelantan berharap kerajaan tidak menganaktirikan pemandu teksi biasa, sehingga memberi kesan kepada pencarian rezeki mereka.

 

Ketua Aktivis PPIM Kelantan, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, pemandu teksi yang ditemui ramai mengatakan sumber pendapatan mereka merosot dan merudum disebabkan oleh kemunculan Uber dan Grabcar.

 

“Perkara ini perlu dipandang serius. Kalau dahulu, satu teksi boleh dapat lebih dari 10 pelanggan, tetapi kini, nak dapatkan seorang pun susah. Itu pun mereka (pelanggan) masih pertikai harga dan dibandingkan dengan Uber dan Grabcar,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

 

Menurutnya, ada pelanggan menyuarakan mereka lebih memilih teksi biasa berbanding Uber dan Grabcar kerana beberapa sebab dan salah satunya ialah bagi membantu pemilik teksi mendapat sumber pendapatan mereka.

 

Beliau berkata, kerajaan mungkin boleh mempelbagaikan lagi kaedah atau pemilihan kawasan iaitu menetapkan kawasan-kawasan tertentu sahaja yang boleh dimasuki teksi Uber dan Grabcar tersebut.

 

“Kekalkan teksi biasa di semua lokasi asal mereka. Tetapi untuk Uber dan Grabcar, pilih lokasi yang sesuai. Jangan ganggu periuk nasi mereka (teksi biasa). Inilah sebabnya berlaku pergaduhan dan sebagainya. Kita mahu dua-dua ada tetapi dengan kaedah yang berlainan.

 

“Pemandu teksi itu mempunyai anak, isteri, yang perlu ditanggung. Kita tidak boleh ambil mudah perkara ini. Setiap teksi ada kelebihan dan kekurangannya sendiri. Biar pelanggan yang tentukan.

 

“Cuma kita perlu pastikan, menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung jangan bergoyang,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.