Kadar GST Tiada Kenaikan, Kekal 6 Peratus

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mempunyai rancangan menaikkan kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 6% sedia ada, dalam Bajet 2017 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat.

 

Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani mematahkan cakap-cakap yang kerajaan akan menaikkan kadar GST sebanyak 2%.

 

“Tidak benar (kenaikan),” katanya selepas pembukaan Persidangan dan Pameran Biz Dunia Islam 2016 di sini hari ini.

 

GST dilaksanakan di Malaysia pada 1 April, 2015.

 

Beliau berkata kadar semasa adalah yang terendah di Asean.

 

Mengenai kemungkinan menambah lebih banyak barangan dalam senarai berkadar sifar dan dikecualikan GST, Johari juga berkata kerajaan tidak akan membuat sebarang perubahan kepada senarai semasa walaupun mendapat permintaan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 

Beliau berkata kajian pihak berkuasa menunjukkan kira-kira 80-90% barangan yang dipohon (ditambah dalam senarai berkadar sifar dan dikecualikan GST), sebahagian besarnya digunakan oleh industri.

 

Beliau menjelaskan permintaan untuk memasukkan lebih banyak barangan dalam kategori ini hanya bertumpu kepada barangan pengguna yang dituntut semula industri menerusi pemulangan cukai.

 

Menyentuh Bajet 2017, Johari berkata ia akan terus memberi tumpuan kepada 4 teras utama iaitu kos hidup, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan.

 

“Kerajaan akan memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan kerajaan memberi manfaat kepada rakyat dan tidak berlaku ketirisan dan pembaziran dana,” katanya.

 

Johari juga yakin kerajaan akan dapat merealisasikan bajet seimbang menjelang 2020 meskipun berhadapan halangan ekonomi dunia. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.