APM Kesal : Video Viral Campak Ular, Tidak Akan Berulang

KUALA LUMPUR – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjelaskan insiden campak ular dalam kolam ketika kem bina semangat di Kuala Kangsar yang viral di media sosial baru-baru ini berlaku spontan dan di luar pengetahuan agensi tersebut.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Datuk Selamat Dahalan berkata, penggunaan ular juga bukan sebahagian daripada modul latihan pasukan itu.

 

“Ia berlaku spontan, pertama kali dibuat dan tanpa pengetahuan kita,” katanya, lapor Bernama.

 

Selamat berkata, pihaknya kesal dengan kejadian itu dan berjanji akan menyiasat punca bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku.

 

Katanya, APM juga akan menilai kembali modul-modul latihan sedia ada bagi mengelak perkara tersebut berulang.

 

Beliau berkata, jurulatih APM yang terbabit dalam insiden itu kini digantung tugas sehingga siasatan selesai.

 

Selamat berkata, pihak APM sudah bertemu kembali dengan guru dan pelajar sekolah terbabit dan mendapati, pelajar berkenaan positif dan sedia untuk kembali mengikuti latihan, asalkan tiada penggunaan ular.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.