UPNM Cipta Serbuk Peledak Peluru Berkualiti Tinggi

KUALA LUMPUR – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berjaya menghasilkan serbuk peledak peluru berkualiti tinggi yang diperbuat daripada kayu bakau dan dijangka mampu mening­katkan industri pertahanan negara pada masa depan.

 

Saintis UPNM, Leftenan Komander (B) Mohd. Najib Abdul Ghani berkata, penghasilan serbuk peledak tersebut yang dikenali sebagai nitroselulosa mampu menjimatkan kos berbanding serbuk peledak biasa yang dikeluarkan oleh pengilang.

 

Katanya yang juga pensyarah di Jabatan Sains dan Teknologi Mari­tim, Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan, peledak itu merupakan kajian pertama di Malaysia yang dijalankan secara bersama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride) Kementerian Pertahanan yang terletak di Batu Arang, Selangor.

 

“Serbuk peledak merupakan salah satu bahan yang penting dalam menghasilkan penembakan yang mantap. Penggunaan nitrose­lulosa mampu memberi peningkatan sebanyak 40 peratus terhadap kelajuan peluru sekali gus meningkatkan daya kuasa tembakan.

 

“Kita telah buat ujian penembakan sebelum ini dan mendapati purata kelajuan serbuk peledak nitroselulosa mampu menghasilkan kelajuan sehingga 590 meter per saat berbanding serbuk peledak biasa iaitu 350 meter persaat,“ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

 

Dalam pada itu, Najib berkata, penghasilan serbuk tersebut perlu melalui proses tertentu bagi menukarkan selulosa kepada nitroselulosa yang berkualiti.

 

Menurutnya, kan­dungan selulosa yang baik dapat dilakukan dengan menambah kandungan nitrogen dalam bahan berkenaan yang dikenali sebagai proses ‘nitrating’

 

“Serbuk nitroselulosa yang dihasilkan juga mempunyai kelebihan yang dapat digunakan untuk kegunaan lain seperti baja. Hal ini kerana nitrogen digunakan oleh tumbuhan sebagai baja yang mudah terurai.

 

“Selain itu, anggota agensi kese­lamatan dapat mengurangkan bebanan peluru yang dibawa sehingga lima kilogram berbanding peluru yang menggunakan serbuk peledak lain. Ia juga kurang menghasilkan karbon yang dapat memastikan laras senjata lebih bersih dan mengelakkan daripada berlaku kerosakan pada komponen tersebut,” katanya.

 

Sementara itu, kata Najib, serbuk peledak itu mampu dihasilkan pada peluru berkaliber lain yang lebih besar pada masa akan datang jika kajian terus dilakukan serta mendapat hasil kerjasama pelbagai pihak.

 

“Setakat ini kita telah lakukan ujian dengan menggunakan peluru berkaliber 5.56 milimeter (mm) yang biasa digunakan oleh raifal. Peluru meriam juga mempunyai potensi besar untuk menggunakan nitroselulosa, tetapi akan mengambil masa dan mungkin memerlukan sedikit pengubahsuaian,” ujarnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.