TPPA banyak kebaikan

KOTA BHARU – Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) diyakini mampu membawa lebih banyak kebaikan berbanding keburukan kepada negara.

 

 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sebagai sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan serta pelaburan asing, Malaysia bakal mendapat manfaat besar daripada TPPA.

 
Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya menandatangani perjanjian tersebut tanpa persetujuan semua pihak.

 
“Kita tahu TPPA ada kebaikan dan ada kosnya tetapi kerajaan berpendapat kebaikan itu lebih banyak daripada kos,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Terbuka Wisma Persekutuan Bersama Pelanggan di sini hari ini.

 
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha; Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir serta Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim.

 

 

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, TPPA merupakan perkara besar kepada negara dan kerajaan perlu memberi penerangan secara menyeluruh kepada rakyat mengenai kebaikan dan keburukan perjanjian tersebut.

 

 

Setakat ini kata beliau, program-program penerangan yang giat dilaksanakan oleh pihak kementerian boleh dikatakan membuahkan hasil apabila semakin banyak pihak berminat meneliti TPPA secara mendalam.

 

 

“Alhamdulillah lepas beri penerangan, saya dapati kefahaman terhadap TPPA semakin meningkat. Rakyat kini dapat tengok buruk dan baik. Kalau dulu dia nampak yang buruk sahaja, sekarang sudah seimbang,” katanya.

 

 

Mustapa dalam pada itu berkata, dokumen TPPA dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

 

 

“Kita akan keluarkan dokumen itu untuk setiap ahli Parlimen secepat mungkin. Diharap mereka mempunyai tempoh masa yang cukup untuk membacanya sebelum berbahas di dewan,” katanya.-Utusan

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.