Pertahankan Isu Pakai Bikini

KEBERANIAN Julia Ziegler mempertahankan pendiriannya setiap kali namanya terpalit dengan kontroversi menarik perhatian peminat industri hiburan sejak kebelakangan ini.

 

 

Wanita berusia 30 tahun ini juga dilihat seolah-olah berhati kering dan tidak kisah menerima apa juga kritikan peminat turut menjadi bahan perbualan.

 

 

Masakan tidak, Julia tidak pernah mengambil pusing apa juga kata-kata negatif yang dilemparkan sebaliknya meneruskan kehidupan seperti biasa.

 

 

Terkini, nama Julia terpalit dengan kontroversi apabila memuat naik gambarnya yang sedang memakai bikini di akaun Instagram miliknya.

 

 

Gambar yang berlatar belakangkan kawasan kepulauan itu kemudiannya menimbulkan perdebatan dalam kalangan peminat yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan cara pemakaian Julia yang berbikini itu.

 

 

Pertikaian itu membabitkan keputusan Julia yang masih enggan memadamkan gambar berkenaan sehingga ke hari ini.

 

 

“Kenapa saya perlu tunduk dengan kehendak segelintir pihak yang mahu saya memadamkan gambar berkenaan sedangkan secara jelasnya saya tidak melakukan sebarang kesalahan?

 
“Saya tahu diri saya. Lagipun, gambar itu dimuat naik dalam akaun Instagram milik peribadi saya dan bukannya meminjam akaun individu lain.

 

 

“Kalaupun ada pihak yang ‘terganggu’ selepas melihat gambar tersebut, saya sendiri juga tidak pernah memaksa orang lain untuk melihatnya.

 
“Malah saya bertanggungjawab sepenuhnya… Sebab itu saya bertegas untuk tidak akan memadamkan gambar berkenaan sampai bila-bila,” tegas Julia berhubung kontroversi membabitkan namanya itu.

 

 

Mengulas lanjut, Julia memberitahu, dia sekadar ingin berkongsi kegembiraannya bersama rakan-rakan sepanjang percutian di Pulau Redang, Terengganu hujung bulan lalu.

 

 

Bagi Julia, percutian itu cukup bermakna buatnya kerana itu adalah satu cara dia dapat melepaskan tekanan selepas bertungkus lumus bekerja di ibu kota.

 

 

Bagaimanapun apa yang membuatkan dia berasa kurang senang apabila ada pihak yang mempertikaikan cara pakaiannya itu ketika berada di kawasan perairan.

 

 

Tambahan lagi apabila berterusan ‘diserang’ dengan kata-kata hinaan daripada segelintir pelayar Internet yang dengan mudah terus menghukumnya lantaran berpakaian sebegitu.

 

 

Keadaan itu secara tidak langsung menimbulkan rasa kurang senang dalam dirinya yang kemudiannya bangkit mempertahankan pendirian diri.

 

 

Biarpun dia mengetahui kesan jangka panjang terhadap perbuatannya itu namun Julia berpendapat, tindakannya itu adalah cara terbaik untuk mengajar pihak terbabit.

 

 

“Awal-awal lagi saya sudah bersedia untuk menerima kesan daripada tindakan saya itu. Sebab itu, mungkin ada yang melihat saya seolah-olah keterlaluan dalam hal ini.

 

 

“Sebab saya merasakan saya tidak bersalah… Cara pemakaian saya juga wajar dan sesuai mengikut situasi kerana berlaku di kawasan pantai.

 

 

“Tapi kalau saya memakai bikini di tempat awam, ya itu memang salah dan wajar dihukum. Sebab itu saya membiarkan apa saja komen negatif yang diberikan.

 

 

“Saya tidak membalas apa-apa. Sebabnya, saya nak melihat sejauh mana perkara ini menjadi bahan perbualan dalam kalangan pelayar Internet,” jelasnya lagi.

 

 

Sengaja mengusik Julia tentang persediaan dirinya jika berterusan dicop pelakon kontroversi gara-gara kerap terlibat dengan kontroversi, wanita ini ada pandangan tersendiri.

 

 

Kata Julia, dia selesa menjadi dirinya sendiri berbanding berpura-pura menjadi individu lain. Pendekatan sebegitu juga menjadi penilaian orang luar terhadap dirinya nanti.

 

 

Tidak pernah kisah tentang perspektif liar lantaran namanya kerap terpalit dengan cerita panas, kata Julia, apa yang penting buatnya rezeki sentiasa ada.

 

 

Ini kerana menurut Julia, dia yang bersusah payah mencari sumber pendapatan selama ini. Dan cerita panas sebegitu langsung tidak membantutkan usaha mencari rezekinya itu.

 

 

“Saya maklum yang tidak semua orang boleh menerima cara kita. Satu lagi, penilaian seseorang itu juga berbeza antara satu sama lain.

 

 

“Kalau orang nak label saya pelakon kontroversi… silakanlah. Saya tidak kisah kerana saya sendiri yang tahu keinginan diri dan hala tuju saya.

 

 

“Tak payah nak terlalu memikirkan tanggapan orang luar terhadap saya. Kelak, saya juga yang jatuh sakit nanti,” kata pemilik bersama syarikat produksi Zioss Films Sdn.Bhd. ini.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.