Pengurus Mengaku Jumpa Zamani, Nafi Jadi Dalang

KUALA LUMPUR – Pengurus penyanyi kumpulan Slam, Zamani iaitu Johan Aziz hari ini menafikan dia sebagai dalang yang membawa keluar penyanyi tersebut dari pusat pemulihan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih).

 

 

Johan bagaimanapun mengakui, beliau ada bertemu dengan Zamani semalam tetapi tidak mengetahui siapa yang menjemput penyanyi itu dari pusat pemulihan tersebut.

 

 

“Saya tidak pasti siapa yang ambil dia (Zamani) dari sana (pusat pemulihan). Saya hanya bertemu dengan dia semalam, bagaimanapun sehingga kini saya masih mengawasi dia dalam mengelakkan perkara tidak diingini dari berlaku,” kata Johan kepada Utusan Online ketika dihubungi sebentar tadi.

 

 

Menjelaskan keadaan Zamani, Johan berkata, apa yang boleh dikongsinya ialah penyanyi itu kelihatan baik dan sihat.

 

 

“Saya tidak tahu kenapa dia mahu keluar. Cuma sebagai orang yang rapat saya banyak nasihatkan dia untuk menghindari orang-orang yang salah sahaja. Saya fikir keadaan dia tidak membimbangkan,” kata Johan lagi.

 

 

Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahi, 44, dilaporkan melarikan diri dari Pengasih di sini dua hari lalu selepas lapan bulan menerima rawatan dan pemulihan dadah.

 

 

Kehilangan penyanyi yang sangat popular dengan lagu Gerimis Mengundang itu menyebabkan Yang Dipertua Pengasih, Datuk Mohd. Yunus Pathi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.