Peluang Rasai Pengalaman Jadi Angkasawan

SHAH ALAM – Orang ramai terutama belia berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman berlatih sebagai seorang angkasawan di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin, Star City, Rusia.

 

Menerusi pertandingan The Space Race, tiga peserta terbaik akan dipilih untuk ke tempat yang pernah menjadi pusat latihan bagi angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor itu.

 

Menurut Sheikh Muszaphar Shukor, penganjuran pertandingan tersebut bertujuan mencetuskan inspirasi, menambah keyakinan selain memenuhi impian bagi memastikan golongan belia di negara ini sentiasa cergas sebagai menyahut saranan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

 

“Penganjuran juga bersempena perancangan kerajaan untuk menghantar angkasawan kedua negara ke angkasa lepas pada 2030,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pertandingan berkenaan di Taman Botani Negara di sini semalam.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Moteevasi Media Sdn. Bhd. yang menjadi penganjur, Syukran Idris memberitahu, pertandingan tersebut bakal bermula Januari depan di Negeri Sembilan diikuti lokasi-lokasi berbeza setiap bulan.

 

“Terdapat 10 lokasi iaitu Rembau, Negeri Sembilan; Banting, Selangor; Alor Gajah, Melaka; Taiping, Perak; Desaru, Johor; Merapoh, Pahang; Kundasang, Sabah; Gua Musang, Kelantan; Gurun, Kedah; Bako, Sarawak dan berakhir di Putrajaya pada Disember depan.

 

“Pemenang dari setiap negeri akan bertanding di peringkat akhir di Putrajaya dan tiga peserta terbaik akan dipilih untuk dibawa ke Star City,” ujarnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.