Lelaki Berpurdah Menyamun Di Surau Perempuan

Berhati-hatilah dengan wanita yang berpakaian jubah hitam berpurdah di kawasan pusat membeli belah kerana ada kemungkinan individu itu adalah lelaki yang menyamar untuk melakukan samun.

 

Inilah yang berlaku di sebuah kompleks membeli belah terkenal di Bukit Bintang baru-baru ini apabila polis bejaya menangkap seorang lelaki memakai purdah yang menyelinap masuk ke dalam surau wanita untuk melakukan samun.

 

Kawasan tersebut memang terkenal sebagai pusat pelancongan yang dikunjungi oleh pelancong wanita Arab yang kebanyakannya memakai purdah.

 

Menurut sumber, polis bantuan yang berada di kawasan tersebut bertindak menahan ‘wanita’ terbabit yang memakai jubah hitam setelah mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.

 

Sebaik ditahan, ‘wanita’ berpurdah itu tidak mahu menunjukkan dokumen diri apabila diminta sebaliknya terus lari tetapi akhirnya berjaya ditangkap polis selepas berlaku pergelutan.

 

‘Wanita’ itu cuba melawan hingga menyebabkan dia cedera di bahagian kening dan setelah disiasat, ‘wanita’ itu adalah seorang lelaki.

 

Polis berjaya merampas wang tunai RM846 dalam dompet yang disimpan dalam beg tangan berjenama Coach, beberapa kad bank serta dua buah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy S6 dan Samsung A8.

 

Polis turut merampas sebuah beg warna hitam jenama H&M, sebuah beg warna coklat jenama Coach dan sebuah beg warna merah jambu berbelang hitam yang mengandungi sepasang telekung warna putih yang dipegang oleh suspek ketika ditahan.

 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes itu sedang disiasat. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.