Kemungkinan Berlaku Banjir Di Cameron Highlands Minima

Projek mitigasi banjir di Cameron Highlands dijangka siap pada Mei tahun depan kata Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Datuk A. Rahman Hamzah.

 

Bagaimanapun kata Rahman, walaupun projek tersebut masih lagi dalam pembinaan, ia sudah cukup untuk menampung lebihan air ketika berlaku hujan luar biasa.

 

“Dulu isunya Sungai Bertam itu kecik. Sekarang ini walaupun masih dalam pembinaan, sudah nampak lebarnya. Sepatutnya siap bulan November ini tetapi ada kelewatan sedikit.

 

“Projek itu akan siap pada bulan Mei, sekarang ini progres sekitar 50 peratus. Tetapi tanpa siap pun sudah boleh tampung untuk pelepasan air.

 

“Berdasarkan kerja yang sedia ada sekarang, mengikut perkiraan speksifikasi, pelepasan air terkawal, banjir boleh dielak,” katanya ketika ditemui pemberita di Kelab Golf Sultan Ahmad Shah Cameron Highlands di sini.

 

Turut hadir dalam sidang media Pengarah Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (NKRA Membanteras Rasuah), Anis Rizana Mohd Zainudin.

 

Pada 5 Novermber tahun lalu, kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam telah meragut lima nyawa dan lebih 90 mangsa daripada 28 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Orang Ramai di Ringlet.

 

Menurut Rahman, apa yang berlaku pada tahun lalu disebabkan hujan luar biasa sehingga empangan dan sungai tidak dapat menampung lebihan air tersebut.

 

“Kemungkinan untuk banjir kilat di Lembah Bertam mungkin tidak ada, terkawal.

 

“Cuma kalau di Ringlet, berlaku juga macam dulu hujan yang luar macam pada tahun 2014, kemungkinan banjir pun mungkin minima sebab air akan mengalir pantas ke Sungai Bertam.

 

“Dari segi perancangan kita, ini yang terbaik tetapi kalau kuasa (tuhan) itu hendak uji kita, Dia beri kita lebih lagi,” katanya.

 

Selain daripada projek mitigasi banjir, Rahman berkata pihaknya turut giat memberikan latihan kepada penduduk, tindakan yang perlu dibuat sekiranya banjir berlaku.

 

“Baru minggu lepas kita buat latihan dengan penduduk, macam mana kalau ada berlaku banjir, hendak mendaftarkan orang dan sebagainya. Pegawai-pegawai kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga ikut,” ujarnya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.