Jangan Jadikan 1MDB Satu Topik Politik Yang Terus Diperdebatkan – Najib

SHAH ALAM – Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa orang ramai supaya tidak menjadikan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai satu topik politik yang terus diperdebatkan dan membenarkan syarikat itu menjalankan tugas mereka.

 

 

Perdana Menteri berkata: “Izinkan 1MDB untuk diselesaikan, jika terdapat salah laku (dalam 1MDB) biar PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) siasat, dan apa sahaja yang tindakan sewajarnya akan diambil.

 

 

“Oleh kerana kita telah dipilih oleh rakyat, kita akan melakukan tindakan yang terbaik,” katanya ketika merasmikan persidangan Perwakilan Nasional ke-44 parti Gerakan di sini hari ini.

 

 

Turut hadir Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

 

 

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata setiap negara melalui masa yang sukar, termasuk Malaysia yang telah melalui krisis kewangan Asean dan berjaya pulih semula kerana ada keyakinan yang kuat dalam kepimpinan.

 

 

“Jika kita sokong kepimpinan, Insya-Allah, kita akan mengatasi semua cabaran politik dan ekonomi, malah masalah 1MDB dapat diselesaikan.

 

 

“Jangan benarkan ia (1MDB) menjadi satu topik politik yang terus diperdebatkan hanya kerana anda mahu menukar kerajaan dan kepimpinan negara. Anda tidak boleh (berbuat demikian) kerana kita dipilih secara demokratik oleh rakyat,” kata Najib.

 

 

Mengulas mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Najib berkata Malaysia harus terbuka kepada pasaran global untuk menjadi sebuah negara yang berjaya.

 

 

“Sebab itu kita mengambil bahagian dalam TPPA … kerana kita adalah negara perdagangan utama dan negara perdagangan utama memerlukan pasaran. Malah pembekal perabot di Muar (Johor) boleh mengeksport ke negara-negara TPPA.

 

 

“Secara prinsipnya adalah baik jika kita menandatangani TPPA namun kita melindungi pasaran domestik. Percayalah, apa yang kita lakukan adalah cara yang betul …kita percaya bahawa Malaysia sebuah negara moden dan progresif tetapi kita mesti terbuka kepada dunia,” katanya.

 

 

TPPA akan dibahaskan di Parlimen tidak lama lagi dan ia akan mengambil masa tiga bulan sebelum sebarang keputusan dibuat.

 

 

Menyentuh kenaikan kadar bayaran tol di 12 lebuhraya utama di Lembah Klang baru-baru ini, Najib berkata kerajaan akan kekurangan wang untuk perkara-perkara lain jika ia memilih untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya.

 

 

“Jika anda tidak menaikkan kadar bayaran tol, anda perlu membayar pampasan, (ketika itu) kurang wang untuk perkara-perkara lain, kurang wang untuk BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia).

 

 

“Jadi, anda perlu membuat keputusan. Perlu sentiasa ada keseimbangan kerana dana yang terhad,” katanya.

 

 

“Oleh itu, kadang-kadang, kita terpaksa naik, kita tidak mempunyai pilihan. Kalau kita tak nak, kita kena bayar pampasan,” katanya.

 

 

Menyebut Pulau Pinang sebagai contoh, Najib berkata kerajaan pimpinan DAP juga telah mengambil langkah meningkatkan antara lain tarif air dan caj tempat letak kenderaan.

 

 

Najib juga berkata kerajaan juga tidak mampu untuk meminjam wang hanya untuk melaksanakan projek-projek untuk rakyat kerana langkah itu hanya akan meningkatkan hutang negara.

 

 

Beliau juga memberitahu perwakilan bahawa kerajaan perlu mematuhi perjanjian dengan syarikat-syarikat konsesi, yang diputuskan 20 tahun lalu.

 

 

“Sudah tentu saya boleh katakan, ia bukan dibuat pada masa saya, ia adalah semasa orang sebelum saya, tetapi saya tidak suka itu.

 

 

“Terdapat prinsip tanggungjawab bersama kerana saya adalah sebahagian daripada kerajaan ketika itu,” katanya.

 

 

Dua belas syarikat konsesi lebuh raya utama di Lembah Klang telah menaikkan kadar bayaran tol antara 10 sen dan RM6 sejak Khamis lepas.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.