Hasil Kutipan GST Akan Diumum Dalam Bajet 2016

KUALA LUMPUR – Hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) setakat ini akan diumumkan semasa pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.

 

Beliau berkata, berdasarkan Bajet 2015, kerajaan menganggarkan kutipan GST untuk 2015, bermula daripada pelaksanaannya pada April lalu, berjumlah RM23.2 bilion.

 

“Pelbagai barang dan perkhidmatan telah dikecualikan atau dikenakan GST pada kadar sifar yang keseluruhannya dianggarkan sebanyak RM3.8 bilion,” katanya ketika menjawab soalan Loke Siew Fook (DAP-Seremban) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

 

Katanya, pelbagai pakej bantuan diberikan kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia yang berjumlah RM4.9 bilion serta pengurangan kadar cukai individu dan syarikat, masing-masing sebanyak satu mata peratusan.

 

Menjawab soalan tambahan Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan), Chua berkata, bagi tempoh April sehingga kini, kerajaan telah membayar balik tuntutan cukai input GST sebanyak RM4.5 bilion kepada entiti perniagaan.

 

Katanya, jumlah tuntutan cukai input yang difailkan oleh syarikat-syarikat perniagaan dalam tempoh 14 hari bekerja telah meningkat setiap bulan dan mencecah 41 peratus. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.