Harga Kad Prabayar Akan Kembali Harga Asal Sebelum GST

SHAH ALAM – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan mengumumkan harga kad tambah nilai prabayar telefon bimbit kembali seperti sebelum perlaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 1 November ini.

 

Laporan Utusan Malaysia memetik Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani, JKDM dilaporkan telah berbincang mengenai perkara itu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya pengguna tidak lagi dibebankan dengan bayaran tambahan apabila membeli kemudahan tersebut.

 

Menurut Johari, kerajaan tidak akan berkrompromi dengan syarikat telekomunikasi (telko) yang gagal melaksanakan langkah itu dan bersedia mengambil tindakan selanjutnya sekiranya mereka masih berdegil.

 

“Bagaimana telko mahu caj, mereka kena fikirkan cara itu. Yang penting, rakyat beli RM10 dapat nilai RM10. Kita mahu Kastam buat susulan dengan SKMM dan buat pengumuman 1 November ini,” katanya selepas merasmikan Forum Pengguna 2015 anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kuala Lumpur semalam.

 

Tambahnya, kerajaan tidak akan menerima alasan pihak telko sebelum ini yang mengatakan sistem komputer mereka belum bersedia untuk itu memandangkan tempoh diberikan kepada telko terlalu lama.

 

“Jika pihak telko masih memberi alasan tidak bersedia sekalipun, mereka perlu patuh arahan ini, iaitu mengekalkan harga kad tambah nilai seperti asal.

 

“Sebab, pada logiknya, kalau telko tidak bersedia, kenapa pengguna pula kena tanggung kos tambahan,”  katanya seperti dilaporkan akhbar berkenaan.

 

Sebelum ini, telco telah menawarkan dua pilihan iaitu bersetuju menjual kad tambah nilai prabayar pada harga RM10.60 tetapi bila diaktifkan pengguna menerima nilai RM10 manakala pilihan kedua pembelian pada harga RM10 dan apabila diaktifkan pengguna hanya menerima RM9.43. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.