Taja Che Ta Lebih Bernilai

Satu blog pro-Umno tampil memberi sokongan kepada firma KPJ Healthcare yang dilaporkan membelanjakan RM10,000 untuk tajaan kos rawatan melahirkan anak bagi pelakon popular Rozita Che Wan.

Tulisan di blog MyKMU.net itu turut mempersoalkan kewajaran NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membangkitkan dakwaan bahawa tajaan tersebut sepatutnya disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Menurut tulisan berkenaan, tajaan itu merupakan pelaburan lebih bernilai kerana menjadi satu bentuk iklan yang akan membolehkan hospital berkenaan meraih lebih banyak hasil.

“Menaja Rozita atau Che Ta bersalin merupakan satu pelaburan bernilai RM 10 ribu tapi membawa nilai pulangan periklanan bernilai ratusan ribu.

“Che Ta merupakan artis yang punya ramai peminat dan pasti menghiasi muka-muka depan akhbar tempatan (kerana ia boleh dijual) dan lembaran muka hiburan selama berhari-hari,” tulisan itu dipetik.

Menurut penulis berkenaan, KPJ Healthcare seterusnya akan dapat membuat sumbangan lebih besar dalam bentuk cukai dan zakat.

“Che Ta merupakan wanita melebih umur 40 tahun. Wanita pada usia sebegini sebenarnya sangat tinggi risiko ketika bersalin.

“Insya-Allah bila beliau bersalin dengan selamat, ia akan memberi penarafan yang baik kepada kepakaran KPJ.

“Hospital KPJ ialah cabang perniagaan yang kosnya berharga ratusan juta ringgit setiap bulan bukannya hospital kebajikan macam hospital kerajaan.

“Namun KPJ juga membayar cukai dan zakat bernilai puluhan juta yang kemudiannya digunakan kerajaan untuk membantu orang miskin dan kurang mampu,” tulisan itu dipetik.

Penulis yang menggunakan nama AJAB itu juga mendakwa, KPJ Healthcare menjadi sasaran kritikan kerana kakitangan hospital itu banyak terdiri daripada golongan Melayu.

“KPJ juga banyak membantu orang miskin, namun dilupakan kerana isu ini dan dijadikan bahan untuk membelasah satu syarikat yang dipenuhi orang Melayu.

Menurut penulis itu lagi, tajaan itu juga akan meningkatkan lagi kewibawaan dalam bidang perubatan memandangkan proses melahirkan anak akan lebih berisiko bagi wanita dalam kelompok umur seperti Rozita.

Rozita, 41 dijangka akan melahirkan anak pertamanya hasil perkahwinan dengan pelakon Zain Saidin dalam tempoh dua minggu lagi.

SAMM semalam dalam kenyataannnya meminta Hospital Ampang Puteri milik KPJ Healthcare menimbang semula tajaan bersalin kepada pelakon yang sering mendapat tajaan itu.

Menurut jurucakapnya, artis yang mesra dengan panggilan Che Ta itu berkemampuan membiayai sendiri urusan bersalin, berbanding ramai lagi rakyat negeri Johor yang tidak mendapat keistimewaan di pusat perubatan milik KPJ.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.