Sukan Para Asia 2014 : Aiman Kecewa, Tewas 0.0064 Saat

Incheon – Atlet berbasikal kebangsaan, Aiman Asyraff Ahmad Bajuri melahirkan rasa kecewa apabila meraih pingat perak dalam acara 1 kilometer Ujian Masa Individu Campuran B pada temasya Sukan Para Asia 2014 di Velodrom Antarabangsa Incheon, di sini hari ini.

Aiman Asyraff tewas kepada pelumba Jepun, Yurie Kanuma, dengan perbezaan masa 0.0064 saat.

“Agak kecewa bila kalah dengan atlet wanita terutamanya…sepatutnya saya mampu raih pingat emas tapi disebabkan sedikit perbezaan masa, saya tewas kepada Yurie,” katanya kepada Bernama selepas tamat perlumbaan.

Melalui acara itu juga, Aiman Asyraff turut memperbaharui rekod kejohanan 1:06s dengan mencatatkan masa 1:05.771s.

Pingat gangsa acara tersebut diraih oleh pelumba tuan rumah Kim Jong-Gui.

Aiman Asyraff turut menyumbangkan satu pingat gangsa bagi acara kejar-mengejar individu kategori B, yang mana pingat emas acara itu diraih oleh Kim Jong-Gui (Korea Selatan) dan pingat perak oleh Tatsuyuki Oshiro dari Jepun.

Sementara itu, bagi kategori lelaki C4-5 acara sama, Malaysia memperoleh gangsa menerusi Mohd Najib Turano manakala emas dimenangi pelumba China, Xinyang Lui dan perak, Masashi Ishii dari Jepun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.