Pelajar Politeknik Yang ‘Diculik’ Akan Dihukum

Kuala Terengganu – Pelajar Politeknik di Johor Bahru yang membuat laporan palsu kononnya diculik, berdepan hukuman penjara dan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, pihaknya mungkin mengambil tindakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu kepada polis.

Katanya, pelajar berusia 20 tahun itu sudah diserahkan kepada keluarganya yang menetap di Ampang Permai, Ampang, Selangor sementara kertas siasatan mengenainya siap.

“Dalam laporannya, kelmarin, pelajar itu mendakwa dia bersama tujuh kanak-kanak berketurunan Cina, India dan Melayu diculik di Johor Bahru dan dikurung di dalam sebuah lori.

“Pelajar itu mendakwa dia berjaya melarikan diri ketika lori berkenaan berhenti mengisi minyak di sebuah stesen minyak berdekatan Hospital Dungun pada kira-kira jam 7.05 pagi.

“Dia mendakwa mendapatkan bantuan seorang pembeli surat khabar yang kemudian membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk membuat laporan pada kira-kira jam 9.45 pagi,” katanya.

Wan Abd Aziz berkata, siasatan polis juga mendapati pelajar terbabit mereka cerita dia diculik berdasarkan novel yang pernah dibacanya.

Malah, kanak-kanak perempuan bernama `Mira’ yang dikatakan mangsa penculikan bersamanya juga adalah adalah nama yang diambil daripada cerita novel yang pernah dibacanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.