Rayuan Tak Dipeduli, Penduduk Terpaksa Tidur Dalam Khemah Selepas Rumah Dirobohkan

KUALA LUMPUR – “Ke manakah kami akan pergi? Rumah dirobohkan, kami tiada tempat tinggal. Yang ada ialah khemah yang dibina di atas tanah lapang milik individu yang sudi memberi kebenaran buat kami berteduh dari hujan dan panas.”

Demikianlah antara kesimpulan yang dapat diungkapkan dalam menyelami perasaan sebahagian daripada penduduk di Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh, Selangor yang rumah mereka telah dirobohkan pagi semalam.

Hari ini, dalam segmen bual pagi Mornink Blues yang dihoskan bersama oleh Hasnurul Mohamed dan KhairulAnuar Yahaya dan disiarkan secara live di Facebook Utusan Online, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Paya Jaras Hilir, Azroy Manaf hadir bersama salah seorang penduduk Paya Jaras Hilir, Noor Shahida Basit untuk berkongsi apa yang sebenarnya berlaku.

Tempoh selama setengah jam sebagai tetamu Mornink Blues pagi tadi yang diberikan kepada Azroy dan Shahida seolah-olah pendek kerana banyak yang ingin mereka kongsikan tentang kedukaan yang mereka alami.

Bagaimanapun, persoalan yang ditimbulkan di sini bukanlah kerana kedegilan penduduk untuk mengosongkan rumah yang didiami sejak tahun 1980an lagi ataupun isu mendirikan rumah secara haram atau tanpa geran di atas tanah milik kerajaan negeri mahupun menolak pembangunan yang ingin dilakukan oleh pihak Kerajaan Tempatan.

Sebaliknya, isunya di sini ialah atas dasar perikemanusiaan, 32 daripada jumlah keseluruhan rumah di kawasan berkenaan iaitu 74 unit rumah, telah ditolak dengan jentera jentolak tanpa ada rasa ihsan untuk memanjangkan tempoh pengosongan yang diberikan bertarikh 5 Ogos, bulan lepas.

“Dalam tempoh sebulan untuk kami semua mencari rumah sewa dan berpindah bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan kerana perlu diambil kira kemampuan kewangan kami. Lagipun, untuk masuk ke rumah sewa perlu wang pendahuluan sekurang-kurangnya dua bulan.

“Kami tidak meminta pampasan atau pun ganti rumah walaupun kami dijanjikan untuk mendapat Rumah Selangorku. Rumah Selangorku itu pun bukanlah diberi secara percuma tetapi kami perlu membeli rumah itu dan mengikut proses permohonan pembelian.

“Sekarang, rumah-rumah telah pun dirobohkan dan kami tidak ada rumah untuk tinggal. Khemah yang didirikan pula adalah khemah terbuka dan bayangkan cuaca jerebu yang melanda negara kita yang memberi kesan kepada kami yang tinggal berhimpit-himpit di dalam khemah,” kata Noor Shahida.

Menurut Noor Shahida lagi, peristiwa perobohan rumah pagi semalam mencatat titik hitam kepada dirinya dan jiran tetangga yang lain. Malahan bunyi runtuhan batu-bata dan bumbung rumah yang ditolak oleh jentera jentolak, amat menyedihkan.

Kata Noor Shahidah, ada penduduk yang anaknya diserang sawan, anak kurang upaya (OKU) ketika rumah mereka dirobohkan.

“Saya sebak dan kasihan dengan nasib seorang kakak ni yang anaknya diserang sawan ketika rumah dirobohkan. Dia mempunyai empat orang anak yang masih kecil dan ketika rumah dirobohkan, suaminya tiada di rumah kerana keluar bekerja. Kakak ni dengan anak-anak kecilnya, hanya sempat ambil selimut dan itu memang menyedihkan.

“Ada juga seorang pesakit kanser payu dara yang rumahnya turut ‘terpilih’ untuk diruntuhkan pagi semalam. Allahhuakbar. Sebak dan sedih yang kami rasai, hanya Allah sahaja yang tahu,” katanya.

Azroy atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lora menjelaskan, hatinya agak berang apabila sebahagian besar mangsa yang rumahnya dirobohkan pagi semalam, tidak dimaklumkan terlebih dahulu supaya mereka boleh membuat persiapan yang sewajarnya seperti membawa keluar barang-barang dari dalam rumah.

“Tidak ada notis pemberitahuan tentang perobohan yang dilakukan pukul 7 pagi semalam. Tahu-tahu, jentolak dah tiba, bersedia untuk membuat kerja-kerja runtuhan.

“Kami terpaksa bertindak mengeluarkan barang-barang dalam rumah sekadar yang kami mampu. Selebihnya, lupus dan rata bersama rumah yang dirobohkan,” katanya.

Azroy berkata, masalah penduduk Paya Jaras Hilir perlu mendapat perhatian daripada wakil rakyat yang berkenaan.

“Perasaan saya bercampur baur antara sedih dan marah kerana nasib penduduk tidak dibela dan rintihan kami kepada pihak berwajib seolah-olah tidak memberi kesan apa-apa pun.

“Bayangkan rumah kami diroboh, reban ayam yang ada di situ, tidak disentuh,” ujarnya sambil menambah, tindakan merobohkan rumah-rumah penduduk termasuk status bergeran, adalah bersifat kejam sambil menegaskan, penduduk menuntut hak mereka atas dasar kemanusiaan.

Tambah Azroy lagi, penduduk akui mereka adalah penghuni rumah setinggan di Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir tetapi permohonan memanjangkan tempoh untuk berpindah sudah tidak membawa sebarang pengertian lagi kerana rumah-rumah telahpun dirobohkan.

“Ya, kami penduduk rumah setinggan tetapi kami bayar cukai pintu dan segala cukai taksiran. Bahkan, penduduk yang ada geran pun, rumah mereka juga dirobohkan.

“Sekali lagi saya tegaskan di sini, kami bersedia untuk berpindah tetapi apa yang kami mahu, kalau boleh bantu, cakap terus terang, boleh. Kalau tidak boleh bantu, bagitau kami,” katanya.

Berita Berkaitan;

Dua Kerajaan Selangor Yang Berbeza Pendekatan Dalam Isu Setinggan

Kata Azroy, para penduduk mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Sivarasa yang turun melihat keadaan penduduk walaupun itu bukan kawasan beliau, menghulurkan bantuan makanan dan minuman serta bantuan yang dihulurkan oleh Unit Amal Pas.

Sementara itu, wartawan Hasnurul Mohamed berusaha menghubungi ADUN Paya Jaras, bagaimanapun dua kali panggilan yang dibuat, tidak dijawab manakla mesej yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp juga tidak dijawab.

Gambaran seterusnya tentang nasib penduduk Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh dipaparkan secara live oleh wartawan KhairulAnuar Yahya bersama juruvideo, Kamarul Hasifi Kamaruddin yang meninjau keadaan mangsa yang tinggal di khemah terbuka. – UTUSAN

Lain-lain berita;

Kerap Jual Aset Negara, Tapi Mengapa Hutang Makin Bertambah?

Mathis Sarawanan Persoal Tindakan RSN Rayer Bela Suspek Jual MyKad

UMNO dan PAS Berpeluang Tawan Kedah, Mukhriz dan Mahfuz Bakal Tumbang

Kerajaan Digesa Tubuh RCI Siasat Dalang Sindiket Jual MyKad Kepada Warga Asing

Kerajaan Hanya Tunggu Masa Iktiraf UEC, Tapi UMNO dan PAS Kacau – DAP

Orang Islam Berhak Beli Barang Pilihan Sendiri, Wee Ka Siong Bidas Lim Guan Eng

Saksi Buat Pusingan U, Sekarang Kata TIA Bukan ‘Baby’ Najib

Lim Kit Siang Bimbang Penyatuan UMNO dan PAS, Berharap Hubungan Putus Sebelum PRU15

Lim Kit Siang Ultra Kiasu, Jangan Terlebih Kurang Ajar – Prof Dr Ridhuan Tee

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.