Iran Disyaki Taja Serangan Ke Atas Loji Minyak Arab Saudi

RIYADH – Arab Saudi mempamerkan dron dan peluru berpandu Iran yang dikatakan digunakan dalam serangan ke atas kemudahan minyak Aramco hujung minggu lalu.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Kolonel Turki Al-Maliki, berkata serangan itu tidak syak lagi ditaja Iran tetapi siasatan masih dijalankan untuk memastikan lokasi pelancaran dengan tepat.

Bagaimanapun, beliau berkata serangan datang dari utara sasaran dan bukan dari Yaman, seperti didakwa pemberontak Houthi Sabtu lalu.

“Serangan dilancarkan dari utara dan tidak syak lagi ia ditaja Iran. Buktinya, yang dapat dilihat di hadapan anda, menjadikan ia tidak dapat disangkal,” katanya pada sidang akhbar.

Beliau berkata, ketepatan impak peluru berpandu menunjukkan kemampuan jauh lebih maju daripada dimiliki proksi Iran.

“Arah lokasi sasaran menunjukkan arah perjalanan utara ke selatan,” katanya.

Lapan belas dron dan tiga peluru berpandu dilancarkan ke atas lokasi kemudahan memproses minyak terbesar dunia, Abqaiq, tetapi peluru berpandu tidak menepati sasaran, kata Al-Maliki.

Empat lagi peluru berpandu menyasar loji minyak Khurais.

Kementerian Pertahanan menunjukkan jumlah dron dan peluru berpandu yang mengenai sasaran di dua lokasi loji pengeluaran minyak Aramco Sabtu lalu.

Katanya, peluru berpandu Ya Ali, dengan jarak 700 kilometer, diketahui digunakan Pengawal Revolusi Iran.

Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah mengunjungi Arab Saudi untuk menyiasat serangan itu, kata Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres.

Beliau turut memberi amaran akibat amat buruk akan berlaku jika krisis berlanjutan.

Terdahulu, duta Arab Saudi ke London berkata, Iran hampir pasti mendalangi serangan ke atas kemudahan memproses dan loji minyak yang mengurangkan separuh daripada pengeluaran minyak negara itu.

Amerika Syarikat menyalahkan Iran di atas serangan itu dan pegawai memberitahu Reuters serangan dilancarkan dari barat daya Iran dan membabitkan peluru berpandu dan dron. —Agensi/Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.