Zahid Mohon Tenang, Berlapang Dada & Yakin Kepada UMNO

Oleh: Naimah Shaari

 

KUALA LUMPUR – Presiden Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Datuk Seri Zahid Hamidi memohon semua ahli parti itu agar bertenang, berlapang dada dan yakin serta meletakkan kepercayaan dengan pucuk pimpinan parti sekarang walaupun beberapa ahli UMNO telah bertindak keluar parti.

Menerusi kenyataan media hari ini, Zahid meluahkan rasa kesal dengan tindakan beberapa ahli UMNO memandangkan setiap ahli UMNO perlu mempunyai sikap yang ikhlas dan daya juang yang tinggi untuk kesinambungan perjuangan parti.

”Dalam keadaan ini, saya minta semua pimpinan dan ahli UMNO di semua peringkat agar bertenang, berlapang dada, terus yakin, serta memberikan kepercayaan kepada pimpinan parti bagi menangani keadaan ini.

”Kita perlu mempunyai sikap yang ikhlas dan memiliki daya juang yang tinggi dalam memastikan kesinambungan perjuangan parti. Meninggalkan UMNO ketika parti sedang diuji, bukanlah sikap terpuji dan boleh diteladani. Islam mendidik kita agar taat selagi mana kita tidak menyalahi apa yang dikehendaki oleh syara’,” kata Zahid.

Selain itu, Zahid juga meminta agar semua ahli UMNO tidak lemah semangat dan terus dengan sikap positif bagi menghadapi Perhimpunan Agung UMNO 2018 pada hujung bulan ini setelah berbagai usaha dilakukan untuk memperbaiki parti selepas PRU14.

Malah, tegas Zahid, UMNO akan terus kukuh dengan asas perjuangan parti dan berjuang walau cabaran mendatang.

“Kita akan mengadakan Perhimpunan Agung UMNO 2018 penghujung bulan ini. Saya harap ia tidak melemahkan kita.

”UMNO akan tetap dengan asas perjuangan bagi memastikan keadilan sosial dan nilai kesejagatan dikekalkan sejajar dengan faktor kemajmukan di Malaysia. Kita tetap menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera serta membela hak semua kaum dalam negara ini. Kerana itu selagi wujud sokongan ramai, UMNO akan terus berjuang dalam apa keadaan sekali pun, biarpun di situasi mencabar ketika ini,” katanya.

Tambahnya lagi, UMNO memerlukan sikap kesetian dan istiqamah dari ahli-ahli parti agar ia mudah ditadbir dengan baik demi masa depan.

”Saya harap, isu ini tidak melemahkan apalagi melumpuhkan UMNO. UMNO memerlukan loyalis parti untuk terus hidup. Biarlah yang setia kepada semangat perjuangan saja yang tinggal bersama UMNO. Dengan itu, parti dan segala rancangannya akan lebih mudah ditadbir serta berjalan dengan baik,” kata Zahid lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.