Tok Pa Akan Sertai PPBM

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang bertindak meninggalkan UMNO hari ini dijangka akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun beliau terlebih dahulu akan bertindak sebagai Ahli Parlimen Bebas sebelum mengumumkan keputusannya untuk bersama PPBM.

Menurut sumber, Mustapa turut ditawarkan jawatan dalam kerajaan selepas menyertai parti Tun Dr Mahathir Mohamad itu dalam usaha memperkukuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kedudukan PPBM dalam pakatan itu.

Orang kepercayaan Mahathir iaitu Tun Daim Zainuddin dikatakan menjadi orang tengah bagi urusan ‘pembelian’ beberapa pemimpin UMNO untuk menyertai PPBM.

Ia juga sebahagian daripada usaha Mahathir untuk memperkukuhkan kedudukannya selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen.

“Secara peribadi Mustapa ataupun Tok Pa adalah anak didik Daim, malah isteri Tok Pa ada hubungan kekeluargaan dengan Daim.

“Daim adalah mentor Tok Pa, jadi bagi orang yang mengetahui perjalanan politik Tok Pa perkara ini bukanlah satu kejutan. Apatah lagi apabila UMNO sudah tidak lagi berkuasa.

“Enam orang ahli Parlimen UMNO sedang dalam rundingan untuk dibawa menyertai PPBM, langkah diambil bagi mengukuhkan kedudukan PPBM dan Tun Mahathir,” katanya.

Sebelum itu Mustapa membuat kejutan apabila mengumumkan keputusannya untuk.keluar UMNO selepas 40 tahun berjuang dengan parti terbesar orang Melayu itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.