TMJ Titah Kerajaan Negeri Kaji Gaji Minimum Penjawat Awam Johor

SHAH ALAM – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah agar kerajaan negeri itu mengkaji semula gaji minimum penjawat awamnya bagi memastikan kebajikan golongan berkenaan terbela. 

Titah Tunku Ismail, gaji penjawat awam sepatutnya dinaikkan mengikut peredaran dan ekonomi semasa. 

“Saya ada berbicara dengan YAB MB Johor mengenai isu gaji minimum, dan saya percaya bahawa rakyat Johor berhak mendapat yang lebih baik. 

“Saya sedia maklum bahawa kerajaan negeri boleh menetapkan gaji minimumnya yang tersendiri. 

“Oleh yang demikian, dengan tilik pandang DYMM Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Johor, saya mencadangkan agar kerajaan negeri mengkaji semula isu gaji minimum penjawat awam di Johor dan sepatutnya dinaikkan mengikut peredaran dan ekonomi semasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Tunku Ismail berkata, sebagai Tunku Mahkota Johor, keutamaan baginda adalah memelihara kepentingan rakyat dan berlaku adil. 

“Saya berharap agar kerajaan negeri Johor berpendirian teguh dalam memastikan kebajikan pekerja dijaga dengan baik, terutamanya penjawat awam.

“Oleh itu, saya juga telah memberi pendapat kepada YAB MB Johor untuk melihat sama ada satu skim gaji minimum boleh dilaksanakan di seluruh negeri untuk memberi manfaat kepada seluruh rakyat Johor,” titahnya lagi. 

Kerajaan pusat baru-baru ini mengumumkan pelarasan gaji minimum akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Januari tahun depan. 

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, kadar gaji minimum itu ditetapkan pada RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam.

Pada masa ini, kadar gaji minimum adalah RM1,000 sebulan di Semenanjung dan RM920 sebulan di Sabah, Sarawak dan Labuan. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.