“Surat Itu Untuk Mantan MP Hulu Selangor” – Mat Nadzari

SHAH ALAM – Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan menjelaskan surat yang diterima pejabatnya yang meminta beliau hadir bagi membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram sebenarnya ditujukan kepada mantan Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk P Kamalanathan.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat pengesahan mengenai surat berkenaan dengan Bukit Aman.

Justeru Mat Nadzari berkata tiada keperluan untuk beliau hadir sebagaimana yang diminta pihak polis.

“Iya saya dah lihat surat itu, memang dihantar ke alamat Umno Hulu Selangor tapi ia tidak nyatakan secara spesifik kepada siapa…hanya tulis Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Selangor. Saya bukan Ahli Parlimen Hulu Selangor.

“Selepas membuat pengesahan dengan Bukit Aman, surat itu bukan untuk Umno Bahagian, tetapi untuk mantan Ahli Parlimen iaitu P Kamalanathan,” katanya ketika dihubungi SuaraTv.

Terdahulu tular di media sosial sepucuk surat yang dihantar ke pejabat Umno Hulu Selangor meminta ‘ahli parlimennya’ hadir bagi membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram.

Surat itu mengkehendaki penerimanya hadir ke Pejabat Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urus Setia Ketua Polis Negara, di Menara KPJ, pagi esok.

Ia menyatakan, penerimanya diminta hadir bagi tujuan pemeriksaan berkaitan penyiasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. -SuaraTv 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.