Saya Bersimpati dan Faham Kenapa Tok Pa Keluar UMNO – Nazri

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz melahirkan rasa simpati susulan keputusan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar daripada Umno selepas 40 tahun menganggotai parti itu.

“Saya telah dimaklumkan. Saya simpati dan faham kenapa beliau membuat begitu.

“Beliau buat keputusan sendiri dan ia tiada kaitan dengan saya,” katanya ringkas ketika dihubungi Astro AWANI.

Mohamed Nazri bagaimanapun enggan mengulas lanjut kenyataan yang dibuat Mustapa berkenaan hala tuju Umno yang tidak selari dengan prinsip politik beliau selama ini.

Beliau pada masa sama menafikan khabar angin yang tular di media sosial kononnya beliau antara pemimpin Umno yang akan meninggalkan parti itu.

“Saya tidak akan tinggalkan Umno. Jawatan saya sebagai Ketua Umno Bahagian Padang Rengas tidak ditandingi oleh sesiapa pun.

“Saya tidak akan meminggirkan ahli Umno di Padang Rengas,” tambahnya.

Difahamkan, Mohamed Nazri ketika ini berada di Paris.

Mustapa sebelum itu mengumumkan keluar daripada Umno selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu.

Dalam satu kenyataan beliau berkata keputusan itu dibuat setelah melakukan pemerhatian tentang lanskap politik Malaysia, hala tuju Umno dan Barisan Nasional serta masa depan negara.

“Berdasarkan beberapa perkembangan mutakhir ini, saya berpandangan bahawa usaha-usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar.

“Tidak ada tanda-tanda bahawa majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali meyakini perjuangan parti ini,” jelasnya dalam kenyataan itu. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.