Polis Tahan Bekas Pemain Bola Sepak Terlibat Kes Samun Bersenjata

SEORANG bekas pemain bola sepak Perak ditahan kelmarin kerana dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian samun bersenjata bersama rakannya sejak Februari lalu.

Bekas pemain berusia 32 tahun dan rakannya berusia 33 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dalam dua serbuan berasingan antara 11.30 malam kelmarin hingga 1 pagi semalam.

Difahamkan, pemain bola sepak berkenaan melarikan diri ke Sungai Petani, Kedah selepas dipercayai melakukan kegiatan samun menggunakan senjata terhadap dua wanita berusia 20 tahun pada Februari lalu.

Bagaimanapun, suspek bersama rakannya itu dipercayai melakukan samun terhadap seorang pelajar perempuan berusia 23 tahun membabitkan kerugian beberapa barang peribadi termasuk kad kredit serta wang tunai berjumlah RM200 dan beg tangan berjenama bernilai RM1,500 di Jalan Leong Kim Seng pada 4.40 petang Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata kedua-dua suspek ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan samun di Jalan Kamaruddin Isa, Ipoh, Februari lalu.

Katanya, dalam kejadian pada 11.10 malam itu, kedua-dua mangsa didatangi dua lelaki sebelum mengacukan pisau dan mengugut supaya menyerahkan beg tangan.

“Dalam kejadian itu, mangsa kehilangan pengenalan peribadi serta kerugian dua telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,340.

“Berikutan itu, kedua-dua suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan sama di beberapa lokasi di bandar raya ini.

“Dalam serbuan itu, polis turut dirampas empat telefon bimbit, sebuah motosikal dan sebatang besi dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Isnin ini untuk siasatan lanjut kes mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.