Pemimpin Datang dan Pergi, Agenda Pengukuhan Perlu Diteruskan – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR – UMNO perlu memastikan agenda pengukuhan dan reformasi parti diteruskan walaupun berdepan ujian perit susulan dua pemimpin kanannya bertindak keluar parti dalam tempoh 48 jam lalu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata apa yang menimpa UMNO ketika ini tidak harus dijadikan alasan sehingga melemahkan parti dalam meneruskan perjuangannya.

“Apa yang pasti agenda pengukuhan dan reformasi parti harus diteruskan. Sejak awal penubuhan UMNO, pemimpin datang dan pergi, namun perjuangan tetap diteruskan demi kelangsungan sebuah perjuangan suci,” katanya dalam satu status di dalam akaun Instagramnya, hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengumumkan keluar UMNO dan melepaskan semua jawatannya semalam dan diikuti tindakan sama Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman hari ini.

Mengulas keputusan Mustapa atau ‘Tok Pa’, Asyraf Wajdi berkata, pemimpin itu disifatkannya sebagai mentor, guru dan bapa saya dalam politik UMNO di Kelantan sejak sedekad lalu.

Katanya, Mustapa menjadi pemimpin yang sentiasa memberi tunjuk ajar kepadanya untuk menjadi pemimpin parti yang sentiasa berpegang kepada prinsip integriti, kesederhanaan dan kesetiaan kepada perjuangan.

“Malah beliau yang kuat membantu dan mendorong saya bertanding Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada Jun lalu bagi membawa agenda reformasi parti.

“Walaupun berat untuk menerima berita ini, namun mengenali nilai perjuangan tokoh ini mungkin ada sebab yang berat dan sukar untuk beliau jelaskan buat masa ini.

“Saya sarankan setiap warga parti agar bertenang, hormati keputusannya dan usah mencemuh beliau,” katanya. – BH

One thought on “Pemimpin Datang dan Pergi, Agenda Pengukuhan Perlu Diteruskan – Pemuda UMNO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.