Peguam Negara Belum Terima Kertas Siasatan, Kenapa Najib Sudah Ditahan? – Lokman

KUALA LUMPUR – Pemantau Malaysia Baru mempersoalkan bagaimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menahan Datuk Seri Najib Razak sedangkan kertas siasatan berhubung dana berjumlah RM2.6 bilion masih belum diterima oleh Peguam Negara.

Perkara itu dinyatakan oleh Tommy Thomas dalam wawancaranya bersama MalaysiaKini dan Theedgemarkets hari ini. (rujuk : https://www.malaysiakini.com/news/443680 ).

Najib ditahan pada pukul 4.13 petang tadi ibu pejabat SPRM, Putrajaya di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 selepas mendapat kebenaran daripada Pejabat Peguam Negara.

Presiden Pemantau Malaysia baru, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa, ini jelas menunjukkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull, Ketua Pesuruhjaya SPRM telah bertindak atas arahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penyalahgunaan oleh SPRM ini boleh dilihat daripada tindakan SPRM membekukan akaun dan soal siasat ramai individu termasuk Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

“Berdasarkan maklumat yang kami terima, selepas disoal siasat oleh pihak SPRM, Tun Daim Zainuddin memainkan peranannya memberikan kata dua kepada Ahli Parlimen terbabit sama ada mahu keluar UMNO atau pendakwaan diteruskan.

“Lebih menyedihkan, pendakwaan berniat jahat ini dilakukan selepasNajib mengeluarkan bukti-bukti bahawa dana hampir AS$1 bilion itu datangnya dari Kerajaan Arab Saudi dan anak Raja Abdullah beberapa hari sudah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Lokman mendakwa Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) sudah digunakan sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menindas musuh politik.

Jelasnya, melalui AMLA, sesiapa juga yang pernah menerima dana UMNO melalui cek Ambank Islamic, akaun amanah atas nama Presiden UMNO, boleh didakwa di bawah AMLA dan terdedah kepada ugutan.

AMLA digunakan sepenuhnya oleh Dr Mahathir bagi mematikan kebangkitan rakyat khususnya kepimpinan UMNO kerana apabila seseorang itu didakwa di bawah AMLA, pihak pendakwaan tidak perlu membuktikan mereka menerima duit daripada sumber haram.

Sebaliknya, yang tertuduh perlu membuktikan bahawa dana yang mereka perolehi adalah bukan dari sumber haram seperti jenayah, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.

“Persoalannya, bagaimana kemasukan dana ini boleh dianggap sebagai dari sumber yang haram sedangkan ianya masuk dengan mendapat kelulusan Bank Negara?,” ujarnya.

Lokman berkata, Pemantau Malaysia Baru dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), selain daripada bersolidariti dengan Raja-Raja Melayu, akan menghantar memorandum memohon campur tangan Majlis Raja-Raja bagi menghentikan penyalahgunaan AMLA di negara ini.

Memoradum itu akan dihantar kepada Istana Negara pada 26 September ini pada pukul 8.30 malam.

Menurutnya, susulan penahanan Najib, Pemantau Malaysia Baru juga akan mengadakan Perhimpunan Solidariti Najib Razak di ibu pejabat SPRM pada pukul 9 malam ini dan 2.30 petang di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, esok. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.