Nazri Nafi Keluar Umno Dakwa Tahu Sebab Tok Pa, Anifah Keluar Parti

IPOH – Dua daripada tiga Ahli Parlimen dari Perak yang diviralkan berpotensi mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman meninggalkan UMNO, menafikan akan berbuat demikian.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria, ketika dihubungi NSTP mengesahkan mereka akan terus bersama UMNO.

Mohamed Nazri berkata, adalah tidak betul sekiranya namanya dikaitkan dalam senarai 17 ahli parlimen yang berpotensi keluar UMNO kerana beliau masih bersama parti dan mempunyai tanggungjawab kepada penduduk di Parlimen Padang Rengas.

“Jangan risaulah, saya takkan keluar UMNO walaupun saya tahu sebab Tok Pa (Mustapa) dan Anifah berbuat demikian.

“Saya masih mempunyai tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Padang Rengas dan tidak betul jika nama saya dikaitkan dalam senarai itu (senarai Ahli Parlimen berpotensi keluar UMNO yang viral),” katanya.

Sementara itu, Mohd Nizar pula berkata, beliau akan sentiasa memikul amanah rakyat yang memilihnya sebagai wakil rakyat melalui parti yang ditandingi dan sesekali tidak akan mengkhianatinya.

“Pengundi mengundi saya sebagai UMNO dan saya juga Ketua UMNO Bahagian Parit, mustahil untuk saya keluar daripada UMNO kerana saya memikul amanah rakyat.

“Senarai nama itu saya rasa tidak betul kerana saya tidak (akan) berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, usaha NSTP untuk menghubungi Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang namanya turut disenaraikan dalam senarai yang viral itu tidak berhasil apabila beliau tidak menjawab panggilan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.