KPN Jelaskan Punca Nama Jho Low dan Bapa Tiada Dalam Notis INTERPOL

KUALA LUMPUR – Proses permohonan untuk menyenaraikan mana-mana individu di dalam notis Polis Antarabangsa (INTERPOL) adalah bergantung kepada protokol agensi terbabit.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata selain melalui protokol, penyenaraian mana-mana individu turut memakan masa serta harus melalui proses teliti yang ditetapkan oleh INTERPOL.

“Berlandaskan protokol yang sama, INTERPOL juga akan menetapkan sama ada nama yang tersenarai akan dipaparkan untuk tatapan umum atau untuk pihak berkuasa yang berkaitan saja.

“Adalah diharapkan dengan penjelasan ini, tidak akan timbul lagi sebarang kekaburan yang boleh mewujudkan salah faham atau persepsi yang tidak benar berhubung tindakan yang sedang diambil oleh pihak berkuasa ke atas Low Taek Jho dan bapanya, Tan Sri Low Hock Peng,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Kenyataan Fuzi itu merujuk kepada sebuah laporan dalam talian bertajuk ‘Jho Low, bapa tiada dalam senarai INTERPOL’ yang disiarkan tengah hari semalam oleh media tempatan.

Sebelum ini, Fuzi mengesahkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menghantar permohonan kepada INTERPOL bagi menyenaraikan Jho Low dan bapanya sebagai orang yang dikehendaki di negara ini. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.