Keluar UMNO? Ini Jawapan Hishammuddin

SHAH ALAM – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein  menjelaskan pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam langsung tidak mempunyai kaitan dengan spekulasi kononnya beliau akan keluar parti.

“Jangan percaya spekulasi di luar sana.. saya jumpa Tun kerana nak dengar apa yang dirancang YAB PM untuk masa depan bangsa dan negara.  Itu saja,” katanya dipetik Berita Harian.

Terdahulu timbul spekulasi kononnya Hishammuddin akan mengikut jejak Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman dengan keluar parti.

Ia ekoran pemimpin tersebut dikatakan mengadakan pertemuan selama dua jam dengan Mahathir, di kala isu dua pemimpin tertinggi UMNO keluar parti masih lagi hangat diperkatakan.

“Bagi saya tiada sebab saya nak keluar parti….tapi saya rasa kepimpinan perlu tunjuk hala tuju yang jelas kepada kita semua ahli-ahli UMNO,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong menyifatkan keputusan Mustapa keluar UMNO sebagai satu kehilangan besar kepada parti.

“Saya cukup menghormati Tok Pa. Saya akan jumpa dia dalam masa terdekat,” katanya.

Semalam, Mustapa mengisytiharkan keluar dari UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat dalam parti itu. 

Keputusan diambil selepas beliau melihat hala tuju parti itu tidak lagi selari dengan prinsip politik yang dipegangnya, selain tiada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula.

Turut mengikut jejak langkah beliau adalah bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang membuat pengumuman keluar UMNO awal hari ini. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.