Cetak Rompak Munafik 2, Syamsul Ancam Saman Individu Kongsi Di Laman Sosial

BELUM sempat ditayangkan di pawagam Indonesia, filem Munafik 2 sudah menjadi mangsa cetak rompak yang dirakam secara haram dari panggung wayang.

Filem tersebut dimuat naik oleh individu tidak bertanggungjawab dan mula dikongsi di laman sosial secara berleluasa.

Akaun tersebut dipercayai milik warga Indonesia namun rakaman menggunakan telefon bimbit itu dilakukan di pawagam Malaysia.

Menurut pengarahnya Syamsul Yusof yang kini berada di London, dia sudah mengetahui mengenai perkara tersebut.

Katanya, tindakan akan diambil terhadap individu yang merakam dan menyebarkan filem tersebut secara haram.

“Saya sudah maklum tentang rakaman dan perkongsian di laman sosial itu. Ada yang masih tak faham apa yang mereka buat ini salah di sisi undang-undang Malaysia.

“Pihak Skop Production akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan perkara tidak bertanggungjawab itu.

“Sila padam video tersebut dan jika masih berdegil syarikat akan mengambil tindakan,” katanya kepada mStar Online.

Menerusi carian di akaun tersebut mendapati filem itu masih lagi boleh ditonton dan telah dikongsi lebih 10,000 kali.

Pada Ahad, Munafik 2 memecahkan rekod sebagai filem Melayu paling tinggi kutipan iaitu sebanyak RM40 juta dalam tempoh 17 hari ditayangkan.

Filem ke-10 arahan Syamsul itu turut dibintangi beberapa barisan pelakon popular seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi.

Ia bakal ditayangkan di pawagam Indonesia bermula 26 September ini. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.