Beri Ruang Kepada Zahid Perkasakan UMNO, Kata Najib

SHAH ALAM – Datuk Seri Najib Razak berkata ahli UMNO perlu memberi ruang dan kepercayaan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam merencana strategi bagi memperkasakan semula parti itu.

Najib yang juga mantan Presiden UMNO turut mempertahankan Zahid ketika ramai yang menyalahkan pemimpin itu yang didakwa menjadi punca Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan parti.

Kata Najib, tidak salah UMNO yang kini dipimpin Zahid, menjalinkan kerjasama bersama PAS memandangkan kedua-dua berdiri di barisan pembangkang.

“Tidak salah untuk Umno dan PAS berpakat kerana kita sama-sama pembangkang. DAP dan PKR juga pernah berpakat dengan PAS ketika mereka pembangkang.

“Tetapi pada pendapat saya, perjuangan untuk Melayu dan Islam tidak akan lengkap tanpa berjuang untuk semua rakyat Malaysia tidak mengambil kira kaum dan agama.

“Datuk Seri Zahid Hamidi perlu diberi ruang dan kepercayaan untuk mengatur langkah bagi memperkasakan semula parti dan hala tujunya,”katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Mustapa semalam mengisytiharkan keluar dari UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat dalam parti itu. 

Keputusan diambil selepas beliau melihat hala tuju parti itu tidak lagi selari dengan prinsip politik yang dipegangnya, selain tiada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula.

Susulan pengumuman itu, mantan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyalahkan Zahid kerana kerjasama yang dihulurkan parti itu dengan PAS menyebabkan UMNO kini ‘kehilangan sinarnya’.

 

Hubungan kedua-dua parti semakin intim apabila UMNO yang diketuai Zahid menghadiri muktamar PAS di Kuala Terengganu, hujung minggu lalu. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.