Ambil Serius Isu Pemimpin Keluar UMNO

KUANTAN – UMNO tidak boleh memandang mudah trend keluar parti dalam kalangan pucuk kepemimpinan dan ahli Parlimennya yang boleh menjejaskan imej parti berkenaan.

Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, UMNO perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi memulihkan imej parti tersebut.

“Janganlah kesetiaan kami di akar umbi ini dipandang remeh. Janganlah ada yang memberi pelbagai alasan mudah untuk meninggalkan perjuangan yang sekian lama menjadi wadah dan matlamat kita.

“Saya yakin kita akan kembali kuat sekiranya kita semua terus bersatu, beristiqamah dan fokus untuk memenangi hati serta jiwa rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar daripada UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti berkenaan.

Mustapa berkata, keputusannya itu susulan hala tuju UMNO pada masa ini tidak selari dengan perjuangannya.

Menurut Shahaniza, seperti kebanyakan ahli UMNO lain, beliau sedih dan tersinggung dengan tindakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu meninggalkan perjuangan parti.

“Saya melihat tindakan itu dibuat tanpa memikirkan natijah kepada ahli parti secara keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.