Ahli Parlimen UMNO Nafi Keluar Parti

Oleh: Naimah Shaari

 

KUALA LUMPUR – Seramai lapan orang Ahli Parlimen UMNO menafikan mereka akan keluar dari parti selepas tersebar senarai nama membabitkan diri mereka di laman sosial.

Ahli parlimen yang didakwa kononnya akan keluar parti adalah: Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim (Arau), Dato’ Dr. Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong), Dato’ Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz (Padang Renggas), Dato’ Mohd Nizar Hj. Zakaria (Parit), Dato’ Jalaluddin Alias (Jelebu), Dato’ Haji Salim Sharif (Jempol), Datuk Seri Bung Mokhtar (Kinabatangan) dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein (Sembrong).

Kesemua mereka menafikan akan keluar parti dan kekal setia berkhidmat selain terus berjuang dengan UMNO tidak kira apa cabaran yang mendatang.

Memetik laporan Berita Harian, Hishamuddin meminta orang ramai tidak mempercayai spekulasi cerita dirinya akan keluar UMNO selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir.

Katanya, pertemuan yang dirancang hanyalah perbincangan hala tuju negara dan ingin mengetahui perancangan kerajaan sekarang untuk rakyat dan negara.

Sementara itu, Shahidan Kassim pula berkata, beliau akan setia bersama UMNO dan mahukan pemimpin yang mengambil keputusan keluar dari parti untuk tidak mencari alasan untuk memburukkan UMNO selepas sudah tidak yakin dan setia dengan UMNO lagi.

Pelbagai spekulasi muncul ketika ini mengenai ahli parlimen UMNO yang lain didakwa akan meninggalkan UMNO untuk mengikut jejak langkah Tok Pa dan Anifah Aman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.