Suspek Dibuang Sekolah Sebab Masalah Disiplin – Mahdzir

KUALA LUMPUR – Enam daripada tujuh suspek yang terlibat dalam kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pernah bersekolah sebelum ini, namun mereka telah dibuang akibat masalah disiplin.

Seorang lagi berjaya menghabiskan persekolahan menengah dan menyambung pelajaran di pusat latihan kemahiran GiatMara, namun difahamkan suspek itu telah pun berhenti belajar di situ.

 

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ada daripada suspek berkenaan dikenal pasti tidak hadir ke sekolah dalam tempoh yang lama iaitu bermula 2012 sehingga tahun lalu.

“Mereka pernah bersekolah pada satu masa sahaja. Misalnya, ada suspek yang umurnya 16 tahun (sekarang) hanya pernah bersekolah sehingga umur 13 tahun sahaja pada 2012. Suspek lain juga lebih kurang sama. Kebanyakan mereka hanya berjaya menamatkan sekolah rendah manakala sekolah menengah hanya separuh jalan.

“Pihak pengurusan sekolah sudah berkali-kali mengunjungi ru­mah pelajar memujuk mereka hadir ke sekolah namun selepas bersekolah untuk beberapa hari mereka mula ponteng sekolah semula.

“Namun, ada suspek yang berumur 18 tahun berjaya menghabiskan sesi persekolahan. Ba­gaimanapun, kesemua suspek itu kini tidak lagi belajar,” katanya dalam sidang akhbar program Sayangi Diri, Jauhi Dadah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Saujana, hari ini.

Difahamkan, tiga daripada suspek berkenaan pernah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampang, dua di SMK Padang Tembak dan dua lagi masing-masing di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Keramat 1 dan SK Datuk Keramat 2.

Suspek itu didakwa tidak hadir ke sekolah untuk tempoh yang lama iaitu antara 86 sehingga 139 hari berbanding 192 hari sesi persekolahan.

Sabtu lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, tujuh suspek yang berusia antara 11 sehingga 18 tahun, ditahan bagi membantu siasatan kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, yang dipercayai motif insiden itu adalah dendam yang berpunca daripada perbuatan ejek-mengejek antara pelajar tahfiz dan pihak luar.

Kata beliau, enam daripada tujuh suspek itu dikesan positif dadah.

Beliau berkata, kesemua suspek itu akan direman sehingga 22 September ini untuk siasatan lanjut.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.