RCI Forex Berakhir Hari Ini, Panel Tolak Panggil Semula Saksi

Putrajaya – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian yang dialami oleh Bank Negara Malaysia (BNM) akibat urus niaga pertukaran matawang asing (Forex) sekitar awal tahun 90-an menolak permohonan untuk memanggil semula penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid.

Pengerusi panel RCI, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, peguam pemerhati juga telah diberikan ruang untuk bertanya soalan kepada Murad.

“Jadi RCI tidak bercadang untuk memanggil semula Murad,” katanya yang turut mengumumkan bahawa prosiding hari ini adalah yang terakhir.

Beliau berkata demikian dalam ulasan ketika menutup sidang RCI itu di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Dalam ulasan penutup itu, Sidek turut memberitahu beliau tidak akan menarik balik kesimpulan yang dibuat pada hari pertama RCI bersidang iaitu BNM telah mengalami kerugian sebanyak RM31.5 bilion disebabkan aktiviti tukaran mata wang asing.

“RCI akan membuat kesimpulan akhir. Semasa inkuiri dijalankan, beberapa angka disebut, sama ada ia berbeza dengan kesimpulan pertama, isu menarik balik tidak timbul.

“Kami akan membuat rumusan akhir laporan yang akan dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong,” katanya.

Sidek juga memberitahu RCI tidak akan membuat laporan polis terhadap Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Puad Zarkashi kerana membuat kenyataan terhadap bekas penasihat BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Puad dalam kenyataan itu bertanyakan soalan apakah Nor Mohamed sedia dijadikan “kambing hitam dalam skandal yang sudah lama tertutup itu”.

Sepanjang prosiding, panel telah mendengar keterangan daripada 25 saksi dan meneliti 42 kertas dokumen.

Selain Sidek yang juga Pengerusi PETRONAS, RCI itu turut dianggotai oleh Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof Ismail selaku Setiausaha, dengan empat lagi individu dilantik sebagai ahli suruhanjaya.

Mereka ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wira Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon serta Ahli Institut Akauntan Malaysia dan Ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia, K Pushpanathan.

Pada 15 Februari lalu, kerajaan mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas (PPK) yang diketuai Mohd Sidek untuk menyiasat dakwaan skandal kewangan terbesar membabitkan kerugian berbilion ringgit dialami BNM dalam perdagangan mata wang asing pada 1990-an dan mengemukakan syornya.

Pada 21 Jun lalu, laporan akhir PPK mendedahkan wujud kes prima facie dalam kerugian urus niaga mata wang asing (forex) BNM.

Pasukan itu juga mendapati jumlah kerugian urus niaga berkenaan jauh lebih besar daripada angka dimaklumkan kepada Parlimen dan Jemaah Menteri lebih 20 tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.