Pasangan Kekasih Dicekup Menagih

BUKIT KAYU HITAM – Sepasang kekasih antara 136 penagih yang diperiksa dalam Op Perdana 3 bagi empat daerah di negeri ini yang bermula sejak 12 September lalu.

Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suhaimi Abu Bakar berkata, pasangan kekasih itu ditahan ketika serbuan di sebuah pondok dalam hutan di Hosba, di sini, lapor Sinar.

“Kedua-dua mereka dipercayai baru sebulan menghuni pondok terbabit dan menjual dadah secara kecil-kecilan.

“Ketika serbuan tiada sebarang bahan terlarang ditemui, namun ujian urin mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya ketika Op Cegah Sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini, semalam.

Menurutnya, kedua-dua mereka berusia awal 30-an dan ditahan untuk tindakan lanjut.

“Tapi apa yang mengejutkan kami, mereka tidak mahu berpisah walaupun kita perlu mengasingkan mereka mengikut jantina.

“Mungkin pengaruh dadah menyebabkan mereka tidak dapat berfikir secara waras,” katanya.

Suhaimi berkata, empat daerah yang terlibat dalam operasi berkenaan ialah Padang Terap, Kulim, Kubang Pasu dan Kota Setar dengan penglibatan seramai 113 anggota.

Selain Op Perdana 3, AADK turut menjalankan operasi di pintu sempadan selama dua hari dengan bantuan anggota PDRM, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Katanya, hasil operasi berkenaan, seramai 229 orang menjalani ujian urin dengan 26 daripadanya positif dadah.

“Operasi yang kita jalankan ini bertujuan mengesan dan menahan orang disyaki penagih untuk menjalani rawatan serta pemulihan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

“AADK bukan berniat untuk menghukum penagih, tapi kita cuba beri peluang kepada mereka mendapatkan kehidupan lebih baik tanpa dadah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.