Kongsi Cita Rasa Fesyen

KUALA LUMPUR: Terkenal sebagai pasangan selebriti bergaya, Awal Ashaari dan Scha Alyahya berkongsi cita rasa fesyen dengan peminat.

Memiliki lebih 100 koleksi pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak, pasangan suami isteri ini meneroka peluang perniagaan dengan membuka butik Schawal Store di Jakel Mall di Jalan Munshi Abdullah, di sini.

Awal memberitahu, dia dan isteri terbabit sepenuhnya dalam kerja rekaan dan pemilihan fabrik bagi setiap koleksi. Selain itu, mereka menjadikan puteri kesayangan, Lara Alana sebagai inspirasi.

“Saya dan isteri akan pastikan setiap pakaian dijual sesuai dengan fesyen terkini. Antara elemen dititikberatkan jenama Schawal Store ialah kualiti kain digunakan.

“Secara asasnya, rekaan berdasarkan pakaian kasual. Scha pula mementingkan kesesuaian untuk wanita bertudung,” katanya kepada BH Online.

Butik pertama Schawal Store di Jakel Mall dirasmikan, Jumaat lalu. Ini butik kedua milik artis yang dibuka selepas gedung milik Datuk Siti Nurhaliza di premis sama.

Pada pembukaan butik, Awal dan Scha turut melancarkan pewangi keluaran mereka, iaitu Noir by Awal Ashaari dan Silver Rose by Scha Alyahya.

“Untuk Noir, saya pilih wangian berbau maskulin kerana ia memberi keyakinan dalam apa juga keadaan. Silver Rose pula lebih kepada aroma bunga-bungaan,” kata Awal sambil menambah wangian itu dihasilkan di Sepanyol.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.