Erra Pantau Akaun Peminat Aleesya

KUALA LUMPUR: Populariti anak tunggal Erra Fazira, Engku Aleesya, kini semakin bertambah selepas bapanya, Engku Emran, berkahwin dengan pelakon dari Indonesia, Laudya Cynthia Bella.

Tempias populariti ibu dan ibu tirinya membuatkan kanak-kanak berusia lapan itu terbabit bukan saja dikenali di Malaysia, tetapi juga di negara seberang juga.

Kelompok peminatnya turut bergabung hingga akaun Instagram tidak rasmi diwujudkan di bawah nama @aleesyaholic.

Sejak lima hari diwujudkan, laman bergambar dan video popular itu sudah mempunyai lebih 12,000 pengikut.

Erra sendiri dilihat mengiktiraf akaun peminat berkenaan apabila mengikutinya.

“Ia sesuatu yang di luar jangkaan saya. Tidak pernah terlintas langsung untuk melihat Aleesya meraih populariti seumpama ini. Namun, saya melihat ia dari sudut positif, iaitu betapa ramai orang sayangkannya.

“Senario sebegini juga tidak boleh dikawal kerana artis lain juga, tidak kiralah diri sendiri atau anak mereka, pasti ada akaun palsu. Cuma, harapnya akaun berkenaan tidak disalah guna untuk kepentingan peribadi.

“Setakat ini, saya nampak ia masih terkawal. Saya ikuti semula akaun itu kerana sekurang-kurangnya dapat juga memantau dari masa ke semasa. Andai ada yang tak kena, saya pasti akan usahakan sesuatu,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon jelita ini juga sebenarnya sudah lama mewujudkan akaun rasmi anaknya di bawah nama @engku.aleesya001.

“Akaun itu memang saya yang wujudkan. Namun, saya tak muat naik apa-apapun lagi. Saya nak tunggu dia besar dulu,” kata Erra yang ketika ini sibuk di lokasi penggambaran drama Gerak Khas musim terbaru.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.