Beto Bertahan Demi Minat

Sesuatu pekerjaan itu jika dilakukan dengan ikhlas dan disulami minat mendalam, pasti mendatangkan hasil, setidak-tidaknya setimpal dengan kudrat yang dileburkan.

Namun, manusia adakalanya perlu berdepan dengan kepahitan realiti bahawa hidup tidak selalunya adil.

Itulah yang berlaku kepada pelakon berbakat besar, Beto Kusyairi yang sememangnya sering memberikan yang terbaik setiap kali beraksi di kaca televisyen atau di layar perak tetapi banyak naskhahnya terutama filem gagal mendapat sambutan.

Saat ditanya perasaannya tentang kutipan filem-filem lakonannya seperti Balun yang sekadar memperoleh sebanyak RM20,000 dan Bravo 5 (RM298,000) di pawagam, lelaki berusia 37 itu segera menekup wajah sambil melepaskan keluhan panjang.

Raut wajahnya sudah cukup menyatakan kekecewaan dari lubuk jiwa tentang kegagalan naskhah berkenaan menambat hati peminat. Biarpun begitu, dia masih mampu melemparkan senyuman nipis.

“Siapa yang tidak berasa kecewa apabila hasil usaha berbulan-bulan atau mungkin bertahun tidak mampu dihargai orang lain. Tambahan, saya secara peribadi merasakan cerita seperti itu mempunyai nilai tersendiri untuk dikongsi dengan peminat.

“Saya cuma mampu memujuk hati sambil mengatakan walau apa yang berlaku selepas pasca penggambaran, saya sudah memberikan yang terbaik. Berjaya atau tidak produk tersebut, saya hanya mampu berserah,” katanya ketika ditemui pada malam gala filem terbaharu lakonannya, Bisik Pada Langit (BPL) di GSC Pavillion baru-baru ini.

Tambah Beto, hal-hal sebegitu juga yang pernah menimbulkan rasa rajuk dalam jiwanya untuk mengundur diri dari dunia seni, namun akuinya, dia tidak mampu.

Bagi Beto, dia hanya tahu berlakon dan jika mengikut kata hati mahu meninggalkan industri, apa lagi yang boleh dilakukan untuk dijadikan pengganti kerjayanya.

“Saya teruskan juga karier sebagai pelakon kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada hidup dan bukan sekadar pekerjaan. Saya sayangkan kerja ini, alasan itu sahaja sudah cukup untuk terus bertahan.

“Biarlah sekarang mungkin bukan masanya untuk saya tetapi akan tiba suatu ketika kelak apa yang saya perjuangkan dalam lakonan ini akan mendapat perhatian sepatutnya,” tegasnya lagi.

Meninggalkan kisah kegagalan terhadap beberapa naskhah lakonannya, Beto yang muncul dalam BPL, sekali lagi menumpahkan lakonan berkesan.

Murung

Disifatkan sebagai naskhah wajib tonton oleh kebanyakan media yang hadir menyaksikan filem arahan Kabir Bhatia itu, Beto memegang watak sebagai Zaidi, abang kepada Siti Hajar lakonan Ummi Nazeera dan merupakan anak sulung kepada watak Wak Selamat (Jalil Hamid) selaku ayah.

Menyifatkan pengalaman bekerja dalam produksi BPL sebagai suatu magis yang jarang-jarang dirasakan, Beto tidak berdepan banyak cabaran kerana semua pelakon melantunkan tenaga luar biasa.

Menurutnya lagi, peluang keemasan bekerja dengan Jalil Hamid juga menambahkan lagi rasa hormatnya secara peribadi terhadap pelakon senior itu.

“Saya sudah tahu abang Jalil seorang pelakon yang hebat tetapi apabila bergandingan dengannya menerusi BPL, rasa kagum dan hormat itu semakin tinggi.

“Saya berasa sangat beruntung kerana diberi peluang bekerja dengan aktor-aktor hebat, pengarah yang mempunyai visi tersendiri, sekali gus mengizinkan tiada sebarang kesulitan sepanjang menjalani penggambaran,” luahnya dengan penuh teruja.

Sepanjang durasi filem yang bakal menjengah pawagam bermula 21 September dinikmati, ketara lelaki dengan nama sebenar, Nurkusyairi Zakuan Osman itu dilihat berperang dengan lautan emosi bagi menjayakan karakter seorang anak yang sering berkorban demi keluarga dan dipandang rendah oleh bapanya.

Malah terdapat suatu babak melibatkan watak Wak Selamat yang tidak berhenti membebel kepada Zaidi, mata Beto jelas kelihatan merah menyala seolah-olah menahan satu ledakan kemarahan dan ia seperti bukan sekadar lakonan.

Suami kepada Tisha Shahar itu mengakui senang tenggelam dalam karakter yang dibawanya kerana dia seorang yang suka menghayati watak sebelum masuk ke set.

Beto juga sempat berkongsi kisahnya yang pernah mengalami tekanan perasaan kerana tidak tahu bagaimana hendak keluar daripada karakter sebaik sahaja penggambaran berakhir.

“Perkara itu berlaku hampir enam tahun lalu apabila saya berlakon dalam drama bersiri bertajuk Warkah Terakhir: Rosli Dhobi dan kesan wataknya yang berat memakan diri saya sedikit demi sedikit.

“Hampir tiga bulan saya mengalami tekanan perasaan kerana tidak tahu bagaimana hendak ‘menyucikan’ watak Rosli dari dalam diri dan kembali menjadi Beto. Mujur isteri dan keluarga banyak membantu dan menyedari pergelutan perasaan saya,” ceritanya.

Sejak itu, anak kelahiran Kuala Lumpur tersebut lebih banyak belajar cara-cara hendak mengawal emosi dan tahu membezakan ruang realiti antara lakonan dan kehidupan sebenar.

Melenturkan ketegangan daripada terus membiarkan Beto terusik dengan isu memberat di kepalanya, aktor Gila Baby itu diaju dengan soalan klise, tentang populariti dan sejauh mana perkara tersebut memainkan peranan penting dalam kariernya.

Selidik

Secara bersahaja, Pelakon Lelaki Terbaik Filem Anugerah Skrin 2014 itu berkata, populariti hanya bersifat sementara, ia bukan sesuatu yang kekal dan semua pihak cukup sedar kenyataan tersebut. Bagi Beto, populariti boleh datang dan pergi. Jadi, sebagai seorang anak seni, itu bukan pegangannya.

Selain menerima erti popular seadanya, pemegang Diploma Perhotelan Universiti Teknologi Mara itu juga mengakui dia seorang yang sangat selektif bukan sahaja pada skrip tetapi dengan siapa dia akan bekerja.

Alasan Beto, dia sangat mementingkan tanggungjawab yang dipikul sebagai pelakon dan berhati-hati dalam menerima tawaran yang boleh menjejaskan komitmennya.

“Saya akan meneliti profil pelakon yang akan bergandingan dengan saya. Adakah dia seorang yang serius bekerja, bagaimana disiplinnya di set dan apakah hasil kerjanya terdahulu.

“Jika saya merasakan gandingan saya sekadar mengejar glamor, saya tidak akan bersetuju dengan tawaran lakonan walaupun dijanjikan bayaran tinggi,” tegasnya.-Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.