Agong Berangkat Ke Istiadat Mengarak Panji-Panji

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, hari ini berkenan berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, di sini.

Istiadat sembah ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Seri Paduka selaku Pemerintah Tertinggi ATM itu diadakan sempena sambutan ulang tahun rasmi hari keputeraan baginda pada 9 September lalu.

Hadir sama pada istiadat berkenaan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut menyertai istiadat berkenaan ialah Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor.

Keberangkatan tiba baginda di Dataran Pahlawan Negara pada jam 9.35 pagi tadi disambut dengan nyanyian lagu Negaraku bersekali dengan Tembakan Kehormatan 21 das yang disempurnakan oleh 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja yang diketuai Mejar Asri Che Wil.

Seri Paduka kemudian menaiki pentas khas bagi menerima tabik Hormat Diraja daripada pasukan kawalan kehormat yang dianggotai 25 pegawai dan 563 anggota lain lain pangkat mewakili ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM diketuai Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Leftenan Kolonel Mohd Radzi Othman.

Selain itu, lima helikopter milik ATM iaitu dua pesawat Nuri, EC725, Allouette dan WASP membuat lintas hormat terbang di ruang udara Dataran Pahlawan Negara dengan membawa bendera Jalur Gemilang, ATM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Darat.

Turut dipersembahkan pada istiadat berkenaan ialah gabungan Pancaragam Pusat ATM pimpinan Kapten Muhammad Nor Azizan Yahya, yang masuk ke dataran mempersembahkan rangkaian lagu patriotik.

Sejurus itu, Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong menyusul dengan penuh istiadat ketenteraan dalam tempo kawad perlahan dan cepat diikuti laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan menandakan penghujung upacara.

Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Ketua Pengarah Kor Agama ATM, Mejar Jeneral Datuk Kamaruddin Mamat.

Sebelum berangkat, baginda sekali lagi menerima tabik hormat daripada kawalan kehormat dan lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM bersekali dengan alunan lagu Negaraku.

Di dalam ATM, panji-panji ialah satu tanda atau lambang penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Seri Paduka kepada perkhidmatan rejimen atau kor atau semua pasukan dalam ATM. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.