15 Pemandu Teksi Isytihar Keluar PPBM Selepas Ditipu Tawaran RM500

GELANG PATAH – Seramai 15 pemandu teksi di sini mengisytiharkan keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana hilang keyakinan selepas menyedari tertipu dengan tawaran parti itu.

Memetik laporan MynewsHub dan Utusan, jurucakap kumpulan tersebut, Suhaimi Mohamed Said, 44, berkata mereka pada awalnya mendaftarkan diri sebagai ahli PPBM selepas dijanjikan tawaran RM500 untuk membawa pengundi ke tempat pengundian pada hari pilihan raya umum kelak.

Namun menurutnya, setelah enam bulan nama mereka didaftarkan sebagai ahli PPBM, tiada seorang pun wakil dari parti itu yang datang menjenguk mereka dan bertanyakan masalah dihadapi untuk dibantu.

“Kami yang mahu keluar hari ini dengan rela hati sebab kami tengok parti ini tidak mengambil sebarang maklum balas dari kami dan tiada apa bantuan yang mereka boleh berikan kepada kami,” kata Suhaimi dipetik dari Mynewshub.

Sehubungan dengan itu mereka meminta pihak PPBM untuk membatalkan segera keahlian mereka. Tambahnya lagi, seramai 30 pemandu teksi sekitar sini telah diambil maklumat peribadi mereka untuk didaftarkan menjadi ahli kerana tawaran tersebut.

“Mereka macam pancing kita dengan RM500 tersebut,” katanya lagi.

Terdahulu, ribuan ahli PPBM sebelum ini telah mengumumkan keluar parti dan yang terbaru dua pengasas bersama parti itu, Anina Saadudin dan Naib Presiden, Datuk Hamidah Osman turut berbuat demikian pada Sabtu lalu. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.