Rombongan Diraja Johor Selamat Tiba Dari Makkah

JOHOR BAHRU – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bersama keluarga diraja Johor dan rombongan yang menunaikan ibadat haji di Tanah Suci Makkah pada 5 September lalu, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, petang semalam.

 

Permaisuri Johor itu kelihatan amat tenang selepas keberangkatan tiba bersama Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim yang disambut Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

 

Keberangkatan pulang keluarga diraja Johor itu dikongsi menerusi Facebook Zarith Sofiah Idris bertajuk: ‘18 September 2016 : Keberangkatan Tiba Rombongan Diraja Johor-bersama T Jalil Tunku Osman’ beserta lapan keping gambar.

 

Sekeping gambar turut memperlihatkan Sultan Ibrahim memeluk Tunku Tun Aminah, selain sekeping gambar turut memperlihatkan Sultan Johor mendoakan kepulangan ahli keluarganya termasuk Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah dan Tunku Abu Bakar.

 

Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Shamsuddin yang diiringi beberapa pegawai dari Pejabat Agama Islam Negeri Johor memimpin bacaan doa.

 

Terdahulu beberapa catatan dikongsi Facebook Zarith Sofiah Idris iaitu ‘Majlis keberangkatan tiba DYMM Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor, YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim dan YAM Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Ibni Sultan Ibrahim, dari selesai menunaikan ibadah Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai pada 18 September 2016.

 

Akhbar pada 6 September lalu melaporkan perjalanan keluarga diraja Johor dan rombongannya selamat berangkat ke Jeddah sebelum ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan ibadat haji pada 5 September.

 

Penerbangan itu dinaiki Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bersama Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim serta dilaporkan berlepas pada jam 1.30 tengah hari. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.