Robot ‘Lari’ Dari Makmal

MOSCOW – Sebuah robot yang melarikan diri daripada makmal, berjaya ‘ditahan semula’ polis Rusia ketika berada dalam satu perhimpunan politik di sini, baru-baru ini.
Mirror Online melaporkan, ini merupakan kali kedua robot yang dikenali sebagai Promobot itu melarikan diri dari makmalnya.

 

Promobot yang banyak membantu kempen calon Ahli Parlimen Rusia, Valery Kalachev itu kemudian digari dan dibawa keluar dari kawasan terbabit.

 

 

Penahanan Promobot itu dibuat susulan dakwaan seorang pengadu yang ternampak robot tersebut menemu bual orang ramai berhubung pandangan pe­ngundi tentang analisis dan proses yang perlu dilakukan oleh pasukan calon yang bertanding.

 

Seorang jurucakap sebuah syarikat yang memetik kenyataan saksi bagaimanapun memberitahu, robot itu tidak melawan ketika ditahan dan digari oleh pihak polis.

 

Dalam kejadian pertama sebelum ini, Promobot dilaporkan menjadi tajuk utama akhbar-­akhbar di Rusia selepas melarikan diri dari makmal ke tempat tumpuan ramai.

 

Bagaimanapun, kelibat Promobot menyebabkan jalan-jalan utama menjadi sesak selepas robot itu kehabisan bateri dan terdampar di tengah-tengah laluan kenderaan.

 

Kesesakan itu dikatakan berlaku selama lebih sejam sebelum robot tersebut dialihkan.

 

Promobot atau singkatan daripada perkataan robot promosi merupakan sebuah robot unik ciptaan saintis Rusia yang direka bertujuan memudahkan kerja-kerja manusia.

 

Selain mempunyai keupayaan untuk berinteraksi secara terus dengan manusia, robot itu juga mampu menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan serta mengingati setiap individu yang ditemui­nya.-Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.