Remy Serah Siasatan Kepada Polis

KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Remy Ishak menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat kes serbuan di rumahnya di Serdang dekat sini kelmarin yang dianggap sebagai satu penganiayaan terhadap dirinya.

 
Remy atau nama sebenar­nya, Mohammad Zalimei Ishak, 34, berkata, beliau tidak mahu memberi kenyataan lanjut ke­rana serbuan dan juga ugutan bunuh yang dilaporkan sebelum ini masih dalam siasatan polis.

 

 

Pelakon itu yang ketika ini berada di luar kota juga memaklumkan beliau sudah membuat laporan polis berhubung kes tersebut dan memohon agar semua pihak memberi ruang kepadanya.

 

 

“Dalam siasatan polis. Minta maaf. Saya juga minta agar semua pihak memberi sedikit ruang kepada saya untuk tidak bercakap apa-apa mengenai kes ini demi keselamatan saya,” jawabnya ringkas kepada Utusan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

 

 

Kediaman pelakon yang mula meningkat naik menerusi drama popular, Nur Kasih itu diserbu oleh polis kira-kira pukul 1 pagi Jumaat lalu setelah me­nerima aduan daripada orang awam bahawa terdapat kegiatan dadah.

 

 

Pelakon itu juga percaya individu yang disyaki seorang kerabat diraja wanita dari sebuah negeri di Pantai Timur telah menganiaya diri­nya sehingga menyebabkan rumahnya diserbu polis merupakan orang sama yang membuat ugutan bunuh terhadap dirinya pada Ogos lalu.

 

 

Ugutan itu didakwa berpunca daripada keengganan pelakon itu untuk bertemu dengan wanita berkenaan.

 

 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohammad Aminuddin Megat Alias ketika dihubungi mengesahkan mene­rima laporan polis berhubung kes tersebut namun menjelaskan laporan yang dibuat bukan daripada pelakon lelaki tersebut.

 

 

“Saya hanya menerima laporan polis daripada salah seorang wanita yang berada di kediaman pelakon itu ketika pihak polis membuat serbuan. Laporan polis tidak dibuat sendiri oleh Remy,” ujarnya.

 

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din pula berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan Remy menerima ugutan bunuh daripada seorang wanita kenamaan, awal bulan ini.

 

 

“Siasatan sedang dijalankan dan memang sebelum ini kita ada mengambil telefon bimbit pelakon tersebut untuk membantu siasatan,” katanya.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.