Polis Sedang Siasat Ugutan Ali Tinju Terhadap Maria Chin

KUALA LUMPUR – Polis sudah pun memulakan siasatan ke atas ugutan terhadap Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang menolak dakwaan polis berat sebelah.

 

Khalid mempertikaikan dakwaan ahli Parlimen DAP, Teo Nie Ching yang mempertikaikan sikap polis tidak bertindak terhadap amaran pemimpin Gerakan Baju Merah, Mohd Ali Baharom, yang berkata akan memastikan Maria tidak akan “berjalan di atas bumi” lagi sekiranya meneruskan perhimpunan Bersih 5 yang dirancang pada November ini.

 

Sebaliknya, Khalid mempersoalkan apa pendirian Teo berhubung Bersih 5 dan kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang mengundang kecaman selepas dianggap menghina kematian Murshidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, Jumaat lepas.

 

“Kenapa Teo tidak suruh saya tangkap Maria dan Ooi?

 

“Kenapa suruh saya tangkap Ali sahaja?” soal Khalid merujuk Ali yang juga dikenali Ali Baharom.

 

Menurutnya, Maria turut disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Jenayah kerana terlibat dalam aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.

 

Ia susulan pengumuman Maria akan menganjurkan perhimpunan Bersih yang ke-5 di Kuala Lumpur pada November 19 bagi membantah ketiadaan tindakan pihak berkuasa dalam isu melibatkan syarikat milik negaras 1MDB.

 

Jumaat lepas, Ooi mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk daripada partinya DAP, selepas beliau menghantar kiriman Twitter yang berupa sindiran terhadap Haron, yang meninggal dunia di Amerika Syarikat pada Jumaat lepas.

 

Khalid memberi amaran tidak mempolitikkan kerja polis, dan berkata polis akan menjalankan tugasnya dengan menyiasat setiap laporan polis.

 

“Jangan cuba menghasut rakyat dengan berkata polis berat sebelah,” katanya merujuk Teo yang mengkritik polis kerana tidak bertindak terhadap kata-kata Ali Tinju.

 

Pada September 14, Ali Tinju berkata beliau tidak kisah sekiranya terpaksa masuk penjara bagi menghalang Maria menganjurkan perhimpunan Bersih.

 

“Kita akan serang hendap dia. Tengok masa. Saya tak kisah masuk penjara. 10 tahun pun tak kisah.

 

“Tunggu dan lihat. Dia tak akan rasa aman, walaupun pengawal peribadi 10 ke 20 orang, kita akan sebat. Dia kena ingat. Saya takut dia nanti tidak akan berjalan di atas bumi. Ini kata-kata bekas tentera,” katanya kepada sebuah portal.

 

Teo mengingatkan polis kenyataan itu perlu disiasat.

 

“Tiada alasan polis tidak bertindak,” kata wakil rakyat Kulai itu, yang menambah sikap membisu polis umpama menggalakkan “samseng seperti Ali Tinju” melanggar undang-undang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.