Mia Tak Sokong Uqasha

Tiada manusia yang sempurna. Itu tegas pelakon, Mia Ahmad ketika diminta mengulas tentang isu rakan baiknya, Uqasha Senrose yang mengambil keputusan untuk tidak lagi bertudung.

 
Namun, dia sama sekali tidak menyokong keputusan tersebut. Baginya, apa yang salah, tetap salah. Cuma, sebagai seorang rakan karib, apa yang boleh dihadiahkan hanyalah sokongan moral untuk kakak kepada Nelydia Senrose itu tabah menghadapi hari-hari mendatang dengan lebih baik.

 

“Selepas isu buka tudung, saya juga ada menghubungi Uqasha. Sejujurnya, saya tidak menyokong apa yang dia buat. Cuma sebagai seorang rakan, saya mahu dia kuat, terutama apabila berhadapan dengan komen-komen segelintir peminat yang ‘maha dahsyat’ pedihnya.

 

“Kita manusia biasa. Masing-masing ada buat silap. Seperti Fathia Latiff dan Elfira Loy, kami bersependapat yang semoga Uqasha dapat menempuhi hari-hari mendatang dengan baik. Mana tahu, dengan kata-kata nasihat dia akan fikir mana yang lebih baik,” katanya.

 

Berbicara tentang istiqamah, pelakon Hati Perempuan ini sukar untuk menterjemah pengertian perkataan itu. Katanya, keikhlasan dan kejujuran hati seorang manusia itu, hanya dia dan Tuhan yang tahu.

 

Jelasnya, dia sendiri yang sudah tiga tahun bertudung sentiasa memperbaiki kesilapan diri, selain tidak pernah lelah untuk mempelajari sesuatu yang baru sementelah dia masih muda dalam penghijrahannya.

 

“Saya takut untuk bercakap tentang istiqamah. Takut jawapan saya akan menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Kalau hendak cakap tentang kekuatan, saya akui kita semua insan lemah yang mudah terpengaruh.

 

“Dulu saya suka sangat buat rambut. Macam-macam gaya saya cuba, tapi apabila sudah bertudung perasaan itu lama-lama hilang. Malah sekarang, semuanya seperti perkara biasa dalam hidup saya,” jelas pelakon berusia 28 tahun ini.
-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.